Ilmu Baka Dari Perspektif Sains Genetik
Sejarah telah memperlihatkan bahawa seawal kurun ke 4 SM lagi, seorang ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Aristotle telah mengketengahkan pendapat bahawa darah adalah diperturunkan daripada ibubapa kepada anak-anak dengan membawa bersamanya berbagai ciri khusus. Dari sinilah bermulalah istilah Inggeris ‘blood relative’ atau apa yang kita panggil ‘saudara sedarah’.
Pada hari ini, kemajuan sains genetik dan teknologi telah mengupayakan manusia membuat analisis secara mendalam serta rumusan-rumusan tentang ciri-ciri fizikal, mental dan saikologikal setiap orang. Antara rumusan terpenting adalah berikut;
Bahawa elemen-elemen BAKA/GENETIK dan BIMBINGAN/PENTARBIYAHAN (Nature and Nurture) adalah dua perkara penting yang bukan sahaja menyumbang kepada ciri-ciri fizikal seseorang itu, malahan turut mempengaruhi pembentukan personalitinya. Personaliti yang dimaksudkan di sini adalah kelakuan, pemikiran dan perasaan yang dibentuk pada tahap-tahap berbeza bergantung kepada pendedahan jenis persekitaran dan pewarisan yang didapatinya.
Hakikatnya, elemen pewarisan atau BAKA dalam jasad fizikal manusia yang diperturunkan daripada ibubapa kepada anak-anak telahpun diketahui semenjak zaman Nabi-nabi dahulu. Undang-undang baka bagi manusia adalah mengikut undang-undang yang sama seperti pewarisan binatang dan tumbuh-tumbuhan. Dengan ilmu baka inilah para petani dari zaman dahulukala mampu menghasilkan tanam-tanaman mahupun binatang-binatang ternak yang berbaka baik melalui proses kacukan.
Ciri-ciri ibubapa yang diperturunkan kepada anak-anak dibuat melalui genetik-genetik khusus yang terkandung padanya arahan-arahan bagaimana membuat serta mengendalikan setiap bahagian tubuh badan manusia. Genetik-genetik khusus yang jumlahnya sebanyak 25,000 ribu pada setiap tubuh badan manusia ini adalah diperbuat daripada lingkaran-lingkaran DNA yang dikompakkan pada unit-unit kromosom yang terkandung dalam setiap sel tubuh manusia. Jumlah sel adalah sekitar 100 trillion yang mana setiap satu sel ini mempunyai tugasan khusus.
Setiap bayi yang dilahirkan mendapat 50% unit kromosomnya daripada ayah dan 50% lagi daripada ibunya. Unit-unit kromosom ini diperolehi pada masa persenyawaan apabila sel sperma ayah bergabung dengan sel telur ibunya. Kebanyakan daripada sel-sel badan manusia mengandungi 2 set kromosom dengan 2 unit kromosom yang berpasangan pada setiap satu set, menjadikan jumlah kromosom pada kedua-dua set tersebut sebanyak 46 unit. Namun sel sperma dan telur mengandungi hanya satu set berjumlah 23 unit kromosom.
Apabila kedua-dua set kromosom (23 unit bagi setiap satu set) ayah dan ibu ini digabungkan semasa proses persenyawaan, ia mewujudkan satu sel yang dipanggil zygote dengan jumlah unit kromosom 46 yang diatur secara berpasang-pasang dalam dua set yang diambil dari set ayah dan dari set ibu pada setiap pasangan. Sel-sel inilah yang akan berpecah lagi, dari 2 menjadi 4, dari 4 menjadi 8, 8 menjadi 16, begitulah seterusnya sehingga terbentuk berjuta-juta sel yang akhirnya menyempurnakan pembentukan jasad seorang bayi.
Di sinilah pewarisan ciri-ciri baka diperturunkan dari generasi ke generasi manusia. Dalam hal ini, walaupun setiap anak mengambil gabungan ciri-ciri ibubapa kerana setiap ibubapa menyumbang kromosom dari set mereka sendiri, namun oleh kerana ianya dilakukan secara rambang, maka setiap anak yang lahir dari persenyawaan sperma-sperma ayah dan telur-telur ibu akan mempamirkan ciri-ciri gabungan set kromosom yang unik menjadikan mereka individu-individu dengan identiti yang berbeza diantara satu sama lain.
Kesimpulannya, kebanyakan daripada sifat-sifat baka yang berbentuk fizikal adalah bergantung pada sifat-sifat biologi nenek moyang yang diwariskan kepada generasi anak cucu mereka. Pengkajian ilmu baka dalam biologi inilah yang dipanggil sains genetik yang mana, ciri-ciri anak yang diperolehi daripada ibubapa yang mempunyai set ciri masing-masing secara teorinya akan membentuk dirinya samada mengikut ciri yang serupa dengan salah seorang diantara kedua ibubapanya mahupun ciri baru yang terhasil daripada gabungan keduanya.
Persoalannya, jikalaulah kita boleh mewarisi sifat-sifat dan kecenderungan-kecenderungan fizikal nenek moyang seperti paras rupa, bentuk badan malahan sesetengah penyakit seperti kanser, kencing manis, sakit jantung, darah tinggi dan sebagainya, adakah kita juga boleh mewarisi ciri-ciri kelakuan mental, emosional dan saikologikal mereka?
Jawapannya memang benar dan sains genetik sudahpun membuktikan perkara ini. Malahan dirumuskan bahawa sesetengah daripada sifat-sifat mental, emosional dan saikologikal ini adalah dikawal dan ditentukan daripada ekspresi genetik itu sendiri contohnya sifat agresif dan tahap kesabaran.
Menurut sains genetik bahawa genetik-genetik manusia yang bertanggungjawab dalam membentuk ciri-ciri yang khusus terbahagi kepada tiga jenis;
PERTAMA, genetik yang membentuk sifat-sifat fizikal seseorang itu contohnya warna rambut, warna mata, alis mata yang lentik, bentuk muka, struktur otot, saiz tulang, lidah yang boleh digulung, telinga yang boleh digerakkan, jari yang boleh dibengkokkan, ketinggian dan sebagainya.
KEDUA adalah genetik yang mengakibatkan seseorang itu cenderung pada sesetengah jenis penyakit seperti kanser, buah pinggang, jantung, darah tinggi dan banyak lagi, mahupun sesetengah penyakit mental seperti gila dan nyanyuk.
KETIGA adalah genetik yang membentuk ciri perwatakan atau sifat kelakuan seseorang. Berbeza dengan genetik fizikal dan kecenderungan penyakit, genetik khusus untuk ciri kepintaran, personaliti ataupun kelakuan melibatkan genetik berbilang (multiple genetics) yang lebih kompleks. Oleh itu metodologi pengkajian ciri baka personaliti tidak menyatakan secara khusus genetik manakah yang terlibat, cuma dihuraikan tentang pengaruh relativisme untuk keseluruhan genetik berbanding faktor persekitaran.
Contoh baka kelakuan dan personaliti adalah kepintaran, sifat pemalu, anti sosial, peramah,tenang, mudah tertekan (depression), disiplin, bakat seni, bakat kepimpinan, kecenderungan jiwa, moral, agama serta banyak lagi.
Pada suatu masa dahulu, di negara Barat terdapat andaian saintis (Locke) bahawa minda bayi yang baru lahir adalah umpama kertas kosong yang mana sifat-sifat dan personalitinya dilakari hanya melalui faktor persekitaran serta unsur-unsur pengalaman yang didapatinya peringkat demi peringkat sepanjang hayatnya. Bermakna personaliti manusia tidak bersifat semulajadi, sebaliknya bersifat pembelajaran dan pengalaman secara evolusi bermula dari saat kelahirannya. Teori ini yang dipanggil Teori Persekitaran atau Tabula Rasa dibuat dengan berlatar belakangkan suasana politik aristrokasi Eropah waktu itu yang menganggap diri mereka memiliki kelebihan baka daripada rakyat biasa dan hamba sahaya. Maka teori ini menyanggah andaian tersebut dengan menegaskan bahawa sesiapapun boleh menjadi apapun jika didedahkan kepada persekitaran dan pengalaman yang sesuai.
Teori Persekitaran atau Tabula Rasa ini dicanggah oleh suatu teori berlawanan, iaitu Teori Baka, yang mengatakan bahawa personaliti manusia adalah dibentuk secara semulajadi dan telahpun ditetapkan sebelum kelahirannya lagi (Picket). Teori ini mengandaikan bahawa ciri-ciri utama spesis manusia telah diprogramkan secara genetik contohnya pemahaman bahasa, kebolehan untuk membaca tindak tanduk diantara satu sama lain sebagai menifestasi alam pemikiran, kebolehan matematik, pandangan moral serta kebolehan untuk mencipta perkakasan.
Teori ini berhujjah bahawa jikalaulah seseorang manusia itu dilahirkan dengan pemikiran sifar umpama kertas putih, sudah tentu tidak ada unsur-unsur ‘pembawa semulajadinya’ yang tidak dapat dijelaskan melalui faktor jantina, bangsa, agama dan budayanya.
Contohnya sesetengah manusia dilahirkan lebih pintar (IQ tinggi) berbanding yang lain. Malahan kebolehan mental, kewibawaan dan keseimbangan (EQ tinggi), bakat, kecenderungan jiwa dan neraca moralnya (SQ tinggi) juga secara umumnya boleh didapati juga pada nenek moyang mereka. Ringkasnya ciri-ciri manusia termasuk jenis personalitinya adalah dibentuk oleh genetik mereka.
Pada hari ini dengan kepesatan teknologi dan ilmu sains genetik, saintis-saintis moden telah menggabungkan kedua-dua teori yang berlawanan tadi serta merumuskan bahawa sifat manusia adalah dibentuk oleh kedua-dua faktor baka dan pentarbiyahan, iaitu nature and nurture. Dalam makna lain, fitrah manusia atau baka dan faktor bimbingan dari persekitaran (ilmu, suasana dan pengalaman hidup) saling bergantung antara satu sama lain dalam membentuk, mencorak serta mewarnai identiti makhluk Allah SWT yang bernama manusia ini.
Kajian ilmu sains genetik moden juga membuktikan beberapa perkara iaitu;
Pertama: Bahawa hampir kesemua ciri kelakuan manusia menunjukkan wujudnya pengaruh baka yang bertahap sederhana sehinggalah ke peringkat tinggi, malahan lebih tinggi daripada pengaruhnya terhadap kecenderungan manusia untuk menimpa sesetengah jenis penyakit fizikal.
Kedua: Walaupun faktor persekitaran juga turut menyumbang kepada pembentukan personaliti manusia, namun sumbangannya lebih merujuk kepada jenis yang tidak berkongsi, iaitu pendedahan kepada persekitaran yang tidak sama dengan persekitaran kelompok sanak saudaranya (yang banyak menyerupai ciri bakanya) menjadikan seseorang manusia itu berbeza daripada mereka.
Ketiga: Kebanyakan baka adalah bersifat ‘baka keras’ (hard inheritance), suatu istilah yang merujuk kepada genetik-genetik manusia yang tetap tidak berubah walaupun terdedah kepada berbagai tindak-tanduk atau persekitaran ibubapa semasa hayat mereka. Bermakna seorang ayah yang bersifat pemalu dan anti-sosial secara semulajadi, namun telah dapat mengatasinya kerana pendedahan sosial yang kerap, bagaimanapun generasinya kemudian tidak akan bertukar menjadi orang-orang yang sosial secara otomatik. Ini disebabkan perubahan perlakuan ayah natijah daripada pengaruh faktor persekitaran tetap tidak akan mengubah sifat genetik semulajadinya, sekadar membantunya menekan/mengawal natijah yang tercetus daripada sifat baka tersebut (iaitu sifat pemalu dan anti sosial). Bermakna keturunannya kelak akan ada yang tetap mewarisi genetik pemalu dan anti sosial tersebut[1].
Apakah pengajaran yang boleh kita ambil daripada semua ini?
Bahawa setiap manusia telahpun dicipta dan diprogram oleh Allah SWT mengikut fizikal-fizikal, tabiat-tabiat dan kecenderungan-kecenderungan tertentu yang diambil daripada gabungan baka, ataupun genetik ayah dan ibunya bermula saat persenyawaan sperma ayah dengan telur ibu sehingga menghasilkan sel pertama anak yang bernama zygote, yang mana pada sel-sel inilah terkandung unit-unit kromosom sebagai bekas menyimpan baka atau genetik ayah dan ibu yang diperbuat daripada DNA itu.
Namun Allah SWT juga mewujudkan faktor bimbingan dan pentarbiyahan bagi mengimbangi faktor baka yang sedia wujud pada manusia sebagai ‘pembawa semulajadinya’, supaya manusia tidak boleh menyalahkan takdir natijah daripada baka yang membentuk segala ciri dan personalitinya sehingga mempengaruhi tindak tanduk serta amalannya di dunia ini.
Dalam hal ini Allah SWT juga telah mengambil kira persoalan USAHA dan INISIATIF manusia dalam mewujudkan faktor pentarbiyahan sebagai mengimbangi faktor baka, yang mana faktor usaha dan inisiatif ini berperanan besar samada dalam memupuk serta mengembangkan baka yang membentuk ciri-ciri kemanusian yang positif ataupun menekan/mengawal baka yang membentuk ciri-ciri negatif sehingga terjanalah manusia-manusia yang berakhlak serta berperadaban mulia.
Di sinilah letaknya tanggungjawab penting raja-raja dan pemerintah, alim-ulama dan pendidik, ibubapa, para cendikiawan, budayawan dan pemikir-pemikir masyarakat dalam ikhtiar mewujudkan persekitaran negara dengan ciri budaya dan peradaban tinggi, bersifat holistik dan rohaniyyat, sehingga mampu melahirkan rakyat yang berfikiran sihat dan bertamadun madani.
Di sini jugalah letaknya ganjaran Allah SWT bagi manusia-manusia yang bertaqwa tidak kiralah dari golongan manapun mereka itu, yang insaf bahawa persoalan baka dan darjat adalah hanyasanya perkara takdir yang telah ditentukan olehNya, dan manusia dilahirkan secara ‘pakej’, yang terdapat padanya gabungan ciri-ciri baka baik dan buruk, menjadikan manusia tidak sempurna. Namun dengan ilmu dan amal hakikat, yang mencakupi juga persoalan-persoalan hak dan tanggungjawab manusia pada segenap lapisan, serta usaha dan amal baik yang boleh dipupuk melalui persekitaran dan pentarbiyahan positif, maka proses adaptasi, penyesuaian dan ’fine tuning’ insan dapat dilakukan.
Sehingga akhirnya segala persoalan manusia dan kemanusiaan dapat dikembalikan kepada falsafah dasar, yakni FALSAFAH TAUHID, iaitu mengakui keEsaan Allah sebagai Pencipta, mematuhi segala kehendakNya serta menjauhi segala laranganNya sehingga bukan sahaja dapat mengimbangi aturan-aturan dunia yang bersifat sementara, terhad dan dalam serba keterbatasan ini, tetapi juga demi mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan di Hari Akhirat yang kekal abadi nanti.
Maha Agung Allah yang telah menciptakan manusia dengan ciri-ciri yang bersifat fitrah dan yang boleh dibentuk dengan unsur-unsur persekitaran dan pentarbiyahan. Allahu Akbar!
Ringkasnya manusia bukan sahaja dilahirkan dengan martabat yang berbeza, malahan telah diprogram juga dengan ciri fizikal, mental serta personaliti yang dipengaruhi baka keturunan. Keadaan ini mampu menjelaskan mengapa sesetengah orang mempunyai ‘pembawa semulajadi’ yang baik, sedangkan sesetengah yang lain perlu didedahkan kepada ciri-ciri persekitaran dan pentarbiyahan yang sesuai dan positif bagi menekan/mengawal sesetengah pembawa semulajadinya yang negatif.
Dalam hal ini, kajian khusus patut dilakukan kepada genetik golongan raja-raja turun-temurun dahulukala, apakah sifat-sifat kepimpinan serta sifat-sifat lain yang berkaitan dengannya ada kena mengena dengan ciri baka keturunan? Mengapa usul feqah pada suatu masa dahulu menuntut ciri ‘berbangsa Quraish’ sebagai salah satu ciri kelayakan pemilihan pemerintah?
Mengapa dalam adat Raja-raja Melayu dahulukala, wujud ciri ‘putera gahara’ sebagai putera yang berkelayakan mewarisi kesultanan, iaitu putera yang dilahirkan daripada wanita-wanita gahara seperti puteri raja, puteri bendahara (yang sebaka dengan raja) atau keturunan Rasulullah ﷺ ? Bukan bermakna raja tidak boleh berkahwin dengan wanita kebanyakan dan melahirkan putera-putera yang mewarisi hartanya atau menjawat jawatan orang-orang besar, tetapi untuk mewariskan pemerintahan diwajibkan hanya kepada putera yang lahir dari permaisuri gahara. Apakah orang-orang dahulukala bersikap elitis membuta tuli semata-mata, atau apakah terdapat suatu rasional yang tersirat di sebalik adat ini kerana raja-raja dahulukala dibimbingi oleh alim-ulama sufi belaka.
Bagaimana pula dengan keturunan Rasulullah ﷺ yang sudah tentu mempunyai baka nenek moyang mereka secara turun-temurun ke atas sehinggalah kepada titisan Baginda sendiri? Apatah lagi menjadi adat bahwa golongan ini digalakkan berkahwin sesama sendiri, Syed dengan Syarifah dan begitu juga sebaliknya, apakah hikmah yang terkandung di sebalik galakan tersebut?
Apa yang pasti, bertuahlah golongan manusia yang bukan sahaja dilahirkan dengan ciri baka baik malahan ia didedahkan pula kepada faktor persekitaran dan pentarbiyahan yang positif ! Sehingga baka baik itu dapat dibaja, dipupuk dan dikembangkan yang bukan sahaja mampu menafaatkan dirinya malahan kepada orang lain juga (seperti baka kepimpinan dan baka pendidik).
Sejarah kesultanan Raja-raja Melayu dahulukala menekankan aspek pendidikan holistik dan kerohaniyyan bagi putera-putera bangsawan yang dibimbingi oleh alim-ulama sufi, dihantar ke medan perang serta merantau bertahun-tahun bagi menimba ilmu serta pengalaman berharga, apabila pulang menjadi raja, barakahlah kepimpinannya sehingga terhasilah negara yang berperadaban tinggi dan masyarakat yang sejahtera. Kemunculan penjajah Britih yang membawa sistem sekular termasuklah dalam aspek pendidikan golongan bangsawan telah bertanggungjawab merosakkan amalan tradisi yang murni ini.
Begitulah juga dengan golongan ahlul-bait atau keturunan Rasulullah ﷺ di zaman-zaman dahulukala, dipastikan mereka sentiasa didedahkan kepada persekitaran agama, baik syariat mahupun akhlak dan kesufian sehingga baka yang semula jadinya baik diperelok, dipermolek dan diperindahkan lagi, maka terjanalah keturunan Baginda yang merupakan ahli-ahli taqwa dan tawadhu’ lagikan alim-ulama secara sambung-menyambung turun-temurun.
Dalam hal ini bangsa Arab telah memberikan kesaksian bahawa baka Bani Hasyim mempunyai banyak kelebihan dalam sifat-sifat kemanusiaan mereka, selalu seimbang dalam segala hal, cerdas akalnya, teguh imannya dan mengagungkan Baitullah, selalu menjauhi hal-hal yang zalim, tinggi kemahuannya, amat penyantun terhadap kaum lemah dan orang-orang teraniaya, selalu bermurah hati, tinggi rasa kepatriotannya dan berbagai sifat mulia lainnya yang menjadikan mereka patut untuk menjadi keluarga yang melahirkan insan termulia Rasulullah ﷺ yang mengajak manusia kepada segala bentuk kebaikan dan keluhuran.
Hal ini diperkukuhkan dengan kenyataan seorang ahli sejarahwan Barat, iaitu R.B Seargent dalam bukunya The Sayyids of Hadhramaut : “ Ahli-ahli keluarga Sayyid Alawiyyin sentiasa bersifat warak dan berperi kemanusiaan…keadaannya menyerupai tingkah laku Nabi….Ahli-ahli tasawufnya suka berselindung, tidak suka menunjuk-nunjuk, lari daripada kesibukan, tetapi tidak cuai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap agama. Kasih kepada anak isteri, jiran tetangga, kaum kerabat, seketurunan dan seagama.”
R.B Seargent seterusnya menyimpulkan bahawa melihatkan sifat-sifat baik yang ditunjukkan oleh alim-ulama Sayyid Hadhramaut, maka bukan sahaja boleh dianggap (dibuktikan) mereka keturunan Nabi (ﷺ), seterusnya (mereka juga) pewaris utama kepada peradaban Islam. [2]
Sebelum kita tutup bahagian ini, marilah sama-sama kita selami dan renungkan beberapa Hadeeth Rasulullah ﷺ sendiri yang terkait dengan persoalan baka dan keturunan. Perhatikan:
“ Pilihlah tempat yang baik untuk air mani kamu,sesungguhnya kaum wanita itu melahirkan (keturunan) serupa dengan adik beradik lelaki atau perempuannya.” Dalam riwayat lain : “ Carilah tempat-tempat yang sesuai untuk air mani kamu, sebab sesungguhnya si lelaki itu lebih menyerupai kaum sebelah ibunya.” (HR Ibnu Asakir)
“Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari anak Ismail dan memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Bani Hasyim dari Quraisy serta memilihku dari Bani Hasyim. Maka aku berasal dari orang-orang baik, dari orang-orang baik, dari orang-orang baik.”
(HR Muslim)
“ Para imam adalah dari kaum Quraisy” (HR An-Nasa’i)
“Manusia itu mengikuti Quraisy dalam perkara ini. Orang-orang Islam mengikuti mereka yang muslim dan orang-orang kafir mengikuti mereka yang kafir“. (HR Muslim, Ahmad dan Baihaqi)
[1] Friedrich Leopold August Weismann mengketengahkan teori plasma kuman atau germ plasma. Menurutnya dalam organism multiselular seperti manusia baka berfungsi melalui sel kuman yang dipanggil gametes seperti sel telur dan sperma. Bermakna hanya sel telur dan sel sperma menjadi ejen baka. Sel-sel lain dalam badan yang dikenali sebagai sel somatik tidak berfungsi sebagai ejen baka. Kesannya bersifat satu arah: sel kuman (gametes) menghasilkan sel somatik dan sel-sel kuman yang lain, namun tidak berlaku sebaliknya. Bermakna sel kuman tidak akan dipengaruhi dengan apa jua yang dipelajari atau yang mengubah sel somatik mahupun apa jua kebolehan yang diperolehi oleh tubuh badan seseorang manusia sepanjang hidupnya itu.Ringkasnya maklumat genetik tidak boleh dibawa daripada soma kepada kuman plasma dan terus kepada generasi manusia berikutnya.Teori ini dipanggil Penghalang Weismann (Weismann Barrier).
[2] Serjeant, R.B, The Sayyids of Hadhramaut, SOAS, University of London, 1957, Luzac & Co, hlm 19-20
Sumber:
Buku 'Zuriat Rasulullah SAW & Raja-raja Melayu'. Rujuk 'Karya Penulis'