Inilah Era Akhir Zaman !
Bismillahirrahmanirrahim
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Telah dekat datangnya Kiamat dan bulan telah terbelah. Dan jika mereka melihat suatu tanda, mereka hanya berpaling dan berkata :’Ini adalah sihir yang berterusan.’ Mereka mendustakannya dan mengikuti hawa nafsu mereka, sedangkan tiap-tiap urusan itu sudah ada kepastiannya. Sesungguhnya telah datang kepada mereka beberapa berita yang sepatutnya sudah cukup untuk mencegahnya mereka (dari kelalaian). Itulah suatu hikmat yang sempurna, namun peringatan itu masih belum berguna bagi mereka. Maka berpalinglah engkau (wahai Muhammad) dari mereka dan ingatilah hari ketika seorang penyeru (malaikat) memanggil kepada suatu yang tidak mereka ingini (Hari Pembalasan). Ketika itu akan tunduklah pandangan mereka. Mereka keluar dari kuburan seakan-akan belalang yang berterbangan. Mereka datang dengan cepat kepada penyeru itu; maka orang-orang kafir berkata ‘ Ini adalah hari yang berat untuk dipikul’”. (Surah Al-Qamar : 1-8)
Allah SWT berfirman yang bermaksud: ”Telah hampir kepada manusia hari hisab segala amalan mereka, padahal mereka berada di dalam kelalaian lagi berpaling (dari kebenaran).” (Al-Anbiyaa’: 1)
“Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus-menerus. Ia bertanya “Bilakah Hari Kiamat itu?” (Al-Qiyamah: 5-6)
“Dan sungguh kamu akan mendapati mereka setamak-tamak manusia kepada kehidupan (di dunia), bahkan (lebih tamak lagi) dari orang-orang musyrik. Masing-masing mereka ingin agar diberi panjang umur seribu tahun, padahal umur yang panjang itu sekali-kali tidak akan menjauhkannya dari siksa. Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.” (Al-Baqarah: 96)
Sungguhlah, kita sekarang berada dalam suatu era akhir zaman yang bermula semenjak zaman Rasulullah SAW, iaitu telah menjangkaui lebih seribu empat ratus tahun. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW telah dibawa oleh Malaikat Jibrail AS berjumpa dengan seorang wanita yang sudah terlalu tua, bongkok lagi uzur. Jibrail AS telah memberitakan pada baginda bahawa si tua bongkok itulah hakikat umur dunia yang bila-bila masa sahaja akan tersungkur rebah.
Apabila seorang tua yang sudah terlalu uzur dan bongkok menunggu saat ajalnya, menanti dan menanti, walaupun hari demi hari yang berlalu tetap kelihatan sama, namun hakikatnya setiap saat yang menjangkauinya meletakkan si tua itu lebih dekat kepada kematiannya yang sememangnya sudah hampir .
Begitulah juga situasi dunia ini. Adakah perjalanan masa, detik demi detik, bulan demi bulan, tahun demi tahun, dekad demi dekad, abad demi abad tidak menolak bumi yang sudah tua lagi uzur ini kepada masa kehancurannya, iaitulah Hari Kiamat seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT? Perhatikanlah bahawa kebanyakan (jika tidak pun kesemuanya) alamat kecil akhir zaman seperti yang diwahyukan oleh Allah kepada RasulNya kini telah menjadi realiti di sekeliling kita!
Rasulullah SAW telah memberitakan kepada para sahabat RA segala tanda kecil dan besar akhir zaman, namun bukan mereka yang melalui kebanyakan dari peristiwa tersebut. Hakikatnya, Rasulullah SAW bukan sahaja Rasul bagi sahabat-sahabat baginda, tetapi rasul juga bagi umat manusia hingga sampainya Hari Kiamat kelak kerana baginda adalah Khatamun Anbiyaa’. Oleh itu segala nasihat, pesanan serta amaran baginda tentang tanda-tanda akhir zaman lebih ditujukan kepada generasi masa kini, kerana kita dan anak cucu kitalah yang bakal merempuh segala peristiwa akhir zaman sebagai umat baginda yang berada dalam lingkungan ‘lebih’ akhir zaman daripada para sahabat RA. Apatah lagi hampir kesemua tanda kecil akhir zaman telah pun muncul. Kini alamat-alamat besar pula menunggu masa dan ketika untuk dizahirkan satu demi satu!!
Dalam hubungkait dengan tempuh akhir zaman yang kini telah menjangkaui lebih seribu empat ratus tahun, persoalannya, dimanakah duduknya kita, umat Islam awal kurun ke 15 Hijrah, awal kurun ke 21 Masihi, dan awal alaf ke 3 Masihi, dalam garis ukur jangka masa akhir zaman ini yang bakal ditamatkan dengan kejadian Hari Kiamat seperti yang dijanjikan Allah SWT?
Sesungguhnya, masa dan tarikh sebenar Hari Kiamat adalah semata-mata milik Allah, sedangkan Rasulullah SAW dan Malaikat Jibrail AS pun tidak diberitakan dengan tepat mengenai hal ini. Bagaimanapun berdasarkan hadeeth-hadeeth baginda yang menceritakan tentang segala alamat kecil dan besar yang telah dan akan berlaku, kita boleh membuat kesimpulan bahawa tempuh ini dapat dibahagikan kepada empat zaman seperti berikut ini;
i. Zaman dimana munculnya alamat-alamat kecil. Bermula selepas kewafatan Rasulullah SAW.
ii. Kemunculan Imam Mahdi AS yang menjadi pemula bagi era terzahirnya alamat-alamat besar akhir zaman. Kemudiannya muncul Dajjal dan peristiwa pembunuhannya oleh Nabi Isa AS yang diturunkan dari langit untuk tujuan ini.
iii. Zaman keberkatan yang belum pernah dialami dalam sejarah umat manusia di bumi ini kerana dikatakan pada zaman itu hanya kaum Muslimin sahaja yang tinggal menghuninya.
iv.Zaman atau era terakhir muktamad, iaitu masa yang benar-benar sudah sampai ke penghujung usia bumi dimana sebahagian umat Islam menjadi kuffur dengan keberkatan serta kemewahan yang dianugerahkan kepada mereka oleh Allah SWT. Dalam zaman inilah terjadi banyak kisah-kisah yang begitu menakjubkan seperti peristiwa munculnya matahari dari arah barat, keluarnya sejenis makhluk yang aneh dari perut bumi, Daabatul Ardh yang akan membezakan orang Islam dan kafir.
Dan akhir sekali peristiwa kematian kesemua kaum Muslimin yang menghuni bumi sehingga tidak tinggal seorang pun lagi di kalangan mereka. Waktu itu bumi akan diperintah oleh puak hitam kafir dari Habsyah selama beberapa tahun. Mereka kemudian menghancurkan Ka’abah dan akhirnya nama Allah SWT tidak lagi disebut hatta oleh seorang manusia pun di mukabumi ini. Saat itulah penghuni bumi bakal dikejutkan dengan peristiwa tiupan sangkakala oleh Malaikat Israfil AS yang menandakan berakhirnya usia bumi dan bermulalah Hari Kiamat.
Sekarang marilah sama-sama kita menghayati secara ringkasnya keempat-empat zaman yang tertera dalam garis ukur era akhir zaman ini yang bakal merempuh umatnya samada mereka bersedia mahupun tidak.
Alamat-Alamat Kecil Akhir Zaman
Rasulullah SAW banyak memberitakan tentang alamat kecil dan besar akhir zaman tanpa memberikan masa yang tepat terjadinya peristiwa-peristiwa ini (kerana masa sebenar itu rahsia Allah SWT). Sebahagian dari tanda tersebut mulai berlaku sejurus selepas kewafatan baginda, dan secara berperingkat-peringkat semakin banyak tanda yang diberitakan kemudiannya muncul satu demi satu.
Dalam perkiraan dunia hari ini, hampir kesemua alamat kecil yang berikut (dan banyak lagi) bagi akhir zaman telahpun menjadi kenyataan. Antaranya ;
Sembahyang diabaikan, diringan-ringan dan ditinggalkan.
Tidak ramai umat Islam yang mahu mengamal dan menyebarkan agama Islam.
Keinginan nafsu syahwat digalakkan. Iklan-iklan, gambar-gambar dan filem-filem lucah berleluasa dan mudah didapati.
Penjenayah menjadi pemimpin, kebanyakannya jahil tentang agama dan banyak memberi fatwa yang menyesatkan pengikutnya.
Perkara-perkara yang halal dianggap haram dan sebaliknya.
Berbohong menjadi satu keperluan, dianggap sukar untuk hidup tanpa berbohong.
Zakat dianggap beban.
Hujan turun tidak pada musimnya.
Wanita menguasai lelaki dengan amalan syaitan. Wanita lebih ramai dari lelaki.
Kawan dan lawan sukar dibezakan.
Dosa dianggap mudah.
Riba berleluasa, orang yang beramal dengan agama pun tidak terlepas dari fitnahnya.
Darah manusia menjadi murah, peperangan, pembunuhan dan jenayah menjadi mainan hidup. Pergaduhan dan perang sesama umat Islam menjadi-jadi.
Akan datang manusia dari barat mempengaruhi umat supaya ikut cara mereka.
Ilmu agama tidak diberi kedudukan yang sepatutnya dalam masyarakat.
Kebodohan dan kejahilan agama menjadi semakin jelas dan nyata.
Perbuatan zina berleluasa.
Arak menjadi minuman biasa yang diminum tanpa segan silu oleh umat Islam.
Banyak berlaku gempa bumi.
Banyak berlaku fitnah.
Masa dirasakan berlalu begitu cepat.
Orang-orang miskin bermegah-megah dengan bangunan-bangunan pencakar langit yang tinggi.
Muzik dan penyanyi-penyanyi wanita bermaharajalela.
Ramai manusia mati mendadak.
Banyak berita berupa pembohongan.
Ramai pegawai menjadi pengampu kepada pemerintah yang zalim. Orang yang jahil dan hina menjadi pemerintah.
Umat Islam yang beriman merintih melihat maksiat berlaku disekelilingnya tapi tidak mampu mencegah kerana sudah terlalu umum.
Alamat-alamat kecil akhir zaman seperti yang dinyatakan di atas ini hanyalah sekelumit dari yang dapat dikutip dari hadeeth-hadeeth Rasulullah SAW yang memperihalkan kejadian-kejadian akhir zaman. Banyak lagi alamat lain telah terbukti menjadi perkara yang umum pada masyarakat dunia hari ini, terutama mulai abad ke 20 Masihi. Peristiwa-peristiwa akhir zaman yang tidak pernah terfikir, tergambar ataupun disaksikan sebelum daripada zaman ini, kini menjadi realiti bagai tasbih putus dan biji-bijinya jatuh berderai dengan lajunya ke bumi satu persatu.
Dalam konteks situasi dunia pada hari ini, kita perhatikan segala ideologi ciptaan dan anutan manusia telah memberanakkan krisis-krisis sosial yang tenat. Kehancuran agama dan moral, peningkatan kadar penceraian dan perzinaan, penagihan najis dadah dan arak, fahaman hedonisme, jenayah-jenayah seks dan sadisme serta berbagai konflik secara berperingkat-peringkat mulai membinasakan alam dan manusia. Berbagai sistem yang bertunjangkan ideologi serta falsafah Yahudi dan Nasrani, antara yang dominan sistem SEKULAR dan DEMOKRASI, ternyata gagal menangani segala macam krisis, tragedi dan masalah manusia sejagat yang semakin hari semakin kompleks, tenat dan sirius.
Krisis alam sekitar, kebuluran dan kemiskinan serta konflik-konflik perkauman dan keagamaan, ancaman perang nuklear dan sebagainya menyebabkan manusia pada hari ini saling hancur menghancurkan. Jika perubahan yang kembali kepada fitrah semulajadi alam dan makhluknya tidak dibuat pada lanskap politik dunia dengan segera, ditakuti kerosakkan-kerosakkan yang dilakukan dengan tangan-tangan manusia sendiri akan memusnahkan segala-galanya di dunia ini.
Bagaimana pula dengan keadaan umat Islam hari ini? Hakikatnya, umat Islam berada dalam suatu era yang paling menekan diri, aqidah dan identiti mereka. Di mana-manapun mereka berada, umat Islam tetap tidak selamat dari buruan kaum Yahudi dan Nasrani selama mana terdapat tanda-tanda mereka cuba menegakkan syiar Islam. Penindasan, kezaliman dan tekanan atas umat Islam dilakukan penuh rakus, lumrah dan gelojoh tanpa segan silu dan beralas, dunia kini menjadi pentas untuk upacara penyembelihan umat Islam secara besar-besaran, namun siapakah yang peduli lagi !?!
Menurut kata Prof Ismail Rajhi Al-Faruqi:
“ Dunia umat Islam pada saat ini berada di anak tangga bangsa-bangsa terbawah. Dalam abad ini, tidak ada kaum lain yang mengalami kekalahan atau kehinaan seperti yang dialami kaum Muslimin-kaum Muslimin telah dikalahkan, ditindas, dirampas negeri dan kekayaannya, dirampas negeri dan harapannya. Mereka telah ditipu, dijajah dan diperas, ditarik melalui paksaan ke dalam agama-agama lain. Dan mereka telah disekularkan, dibaratkan dan di’deislamisasikan’ oleh agen-agen musuh mereka di dalam (syaitan) dan di luar diri mereka. Semua ini terjadi di setiap negeri dan pelosok dunia Islam. Sebagai korban segala macam penganiayaan dan pencerobohan, kaum Muslim difitnah dan dijelek-jelekkan dihadapan seluruh bangsa lain. Pada saat ini mereka mempunyai imej paling buruk. Di dalam media massa dunia, kaum Muslimin dikatakan bersifat agresif, destruktif, mengingkari hukum, pengganas, biadap, fanatik, fundamentalis, kuno dan menentang zaman. Mereka adalah sasaran kebencian bagi orang-orang yang non-Muslim, baik bagi orang-orang yang telah maju mahupun yang terkebelakang, baik orang-orang kapitalis mahupun Marxis, baik orang-orang Barat, mahupun orang-orang Timur, yang beradap atau biadap. Mengenai dunia Islam sendiri, yang diketahui hanyalah penentangan dan perpecahan, pergolakannya dan perselisihan-perselisihan, peperangan-peperangannya dan ancaman-ancaman yang ditimbulkan bagi perdamaian dunia, kekayaannya yang melimpah ruah dan kemiskinannya yang keterlaluan, bencana kelaparan dan wabak taun. Menurut pandangan umum dunia, dunia Islam adalah dunia yang sakit dan pendapat mereka telah dibentuk sedemikian rupa sehingga mereka mempercayai bahawa pada dasarnya keburukan-keburukan itu disebabkan oleh Agama Islam …...”
Sabda Rasulullah SAW : “Akan tiba masanya manusia akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat Islam), sebagaimana orang mempelawa satu sama lain untuk menjamah hidangan makanan (i.e bangsa-bangsa akan memujuk dan mengajak yang lain untuk bergabung bagi mengeronyok umat Islam dengan apa cara sekalipun). Seorang sahabat bertanya :’ Apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah ?’ Baginda menjawab;’Bahkan, bilangan kamu diwaktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ibarat buih di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan Dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit Al-Wahn. Seorang sahabat bertanya pula:’ Ya Rasulullah, apakah dia Al-Wahn itu?’ Jawab Rasulullah ‘Cinta dunia dan takut mati”
Kesimpulannya, dunia masakini sedang dilanda berbagai bala-bencana, fitnah besar serta pergolakan secara bersambung–sambung di merata-rata tempat. Umat Islam pula berada dalam situasi yang amat parah, kronik dan gawat, terutamanya dari sudut ancaman identiti dan aqidah. Kejadian-kejadian ini secara langsung atau tidak langsung telah mula membinasakan alam dan manusia secara berperingkat dengan kadar yang cepat sekali. Ini jelas menunjukkan betapa dunia kini sedang menderita sakit tua dan keuzuran yang tenat.
Alamat-Alamat Besar Akhir Zaman
Dengan kebanyakan dari tanda-tanda kecil akhir zaman telahpun terzahir dan disempurnakan, menyusul selepasnya suatu era pergolakan yang panjang di mukabumi ini, dimana peranan utamanya dipegang oleh kaum Yahudi dan Nasrani di satu pihak, dan umat Islam di pihak yang bertentangan.
Dalam konteks jangka masa akhir zaman, era pergolakan yang dimaksudkan ialah zaman yang kita sedang hadapi. Ianya bermula sekitar awal abad ke 20 Masihi, dengan beberapa tragedi simbolik yang melanda ummah seperti kejatuhan Dinasti Othmaniyyah yang telah memerintah empayar Islam selama lebih 600 tahun dan menjadi pusat khalifah umat Islam sedunia. Dalam waktu yang sama, pemerintahan 2 Haramain iaitu kota suci Mekah dan Madinah terlepas dari genggaman ahlul-bait Rasulullah SAW yang merupakan penguasa tradisinya selama lebih 800 tahun. Penguasa tradisi bumi Haramain yang dikenali sebagai Syarif-Syarif Mekah ini menjadi lambang kerohanian umat Islam sedunia sejak zaman berzaman. Mereka sentiasa bekerjasama erat dengan khalifah-khalifah Othmaniyyah dalam menjamin tradisi penyebaran serta perlaksanaan syiar Islam sedunia terus dipelihara dan dipertahankan. Dalam pertengahan kurun ke 20 Masihi, suatu lagi tragedi besar berlaku, wilayah Baitul Maqdis pula jatuh ke tangan pihak Yahudi.
Selepas Perang Dunia Pertama, buat pertama kalinya juga dalam sejarah umat Islam, pemerintahan Raja-Raja Islam yang sebenarnya mempunyai legitimasi kukuh dalam syariat telah ditumbangkan satu persatu dan digantikan dengan sistem pemerintahan SEKULAR yang berasaskan konsep yang dipraktikkan masyarakat Romawi pagan di zaman pra-Islam. Persempadanan negara-negara Islam diwujudkan, semangat keagamaan kukuh dan ukhwah Islamiyyah digantikan dengan semangat nasionalisme dan patriostisme sempit. Pada akhir abad ke 20 pula, dengan berakhirnya Perang Dingin diantara dua kuasa besar dunia, Republik Amerika dan rejim komunis Russia, maka bermulalah suatu era baru. Dengan dipelopori dan ditaja oleh persekutuan Yahudi dan Nasrani, suatu rancangan untuk menghancurkan umat Islam secara besar-besaran telah dipersepakati.
Dengan terlerainya ikatan kerohanian ummah dengan Syarif-Syarif di Mekah, terlupusnya pusat khilafah Islam apabila Dinasti Othmaniyyah tersungkur di kaki kuasa-kuasa barat, pemerintahan Daulah-Daulah Islamiyyah sedunia digantikan dengan sistem-sistem sekular yang tidak ada kena mengena dengan Islam, kaum Muslimin hari ini menjadi seperti anak-anak yatim yang kehilangan tempat berpayung dan terdedah kepada berbagai jenis tekanan dan penindasan.
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW telah bersabda :” Tegaklah pada kamu masa kenabian sampai beberapa lama yang dikehendaki Allah, maka terjadilah ia, kemudian diangkat. Kemudian tegaklah selepas itu pada kamu masa khalifah atas manhaj kenabian, maka terjadilah ia padamu beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian ia diangkat. Kemudian terjadilah padamu masa kerajaan yang menggigit (Mulkan Ad Dhudhan), maka terjadilah ia beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian diangkat. Kemudian tegaklah selepas itu kerajaan menyeleweng (Mulkan Jabbariyyan) terjadilah ia beberapa lama yang dikehendaki Allah, kemudian diangkat. Selepas itu tegaklah padamu Khalifah atas manhaj kenabian, yang mengamalkan sunnah Rasul di kalangan manusia. Islam akan tersebar luas di mukabumi yang diredhai oleh penghuni langit dan bumi. Langit tidak akan meninggalkan setitis pun air hujan, kecuali ia mencurahkannya. Dan bumi tidak akan meninggalkan tanaman dan berkatnya kecuali ia akan mengeluarkannya.” (HR Thabarani)
Dalam sejarah umat Islam dari aspek adat peraturannya seperti yang acapkali berlaku, sesuatu musibah yang melanda ummah adalah merupakan kaffarah (penebus dosa) bagi mereka kerana Allah SWT mahu menyuci dan membersihkan hamba-hambaNya sebelum dianugerahkan kurnia besar. Anugerah ini bakal menanti mereka yang bersabar dengan ujianNya yang Maha Besar ini. Ambillah iktibar dari sejarah umat Islam di masa lalu, hayatilah juga segala peristiwa di masa akan datang yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW melalui hadeeth-hadeeth baginda.
Sesungguhnya, di sebalik musibah besar yang melanda umat Islam hari ini sebenarnya tersembunyi seribu hikmah. Di sebalik kisah-kisah tekanan dan penindasan yang bersambung-sambung dikenakan atas mereka di merata tempat di dunia ini, Allah SWT telah menjanjikan kemunculan era kebangkitan dan dominasi ummah. Dan apakala tibanya zaman kegemilangan tersebut, ia menandakan bermulanya suatu lagi babak Akhir Zaman yang mana bakal dipenuhi dengan keberkatan dan rahmat Allah SWT yang belum pernah dialami oleh umat Islam sebelum dari masa ini.
Qurrah bin Iyas berkata bahawa Rasululah SAW telah bersabda : “Bumi akan dipenuhi kedurjanaan dan kekejaman. Ketika itu, Allah mengutus seorang lelaki dari umatku yang namanya seperti namaku, nama bapanya juga seperti nama bapaku, ia memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana bumi dipenuhi kedurjanaan dan kezaliman. Ketika itu langit tidak menahan sedikit pun hujannya dari turun, dan bumi tidak menahan sedikit pun tumbuhan dari tumbuh. Ia bersama-sama kamu selama tujuh atau lapan atau sembilan yakni tahun.”
Masa kegemilangan dan keberkatan ini kemudiannya disusuli dengan era yang disebut ‘masa terakhir mutlak’, dimana sudah sampailah alam ini ke penghujung usianya, dan sebentar lagi bakal ditautkan dengan peristiwa tiupan sangkakala oleh Malaikat Israfil AS, menandakan tamatnya dunia dan seisinya dan bermulalah zaman akhirat yang kekal untuk selama-lamanya.
Berdasarkan daleel-daleel Quran dan Hadeeth Rasulullah SAW, marilah sama-sama kita meneliti Alamat-Alamat Besar Akhir Zaman yang dikatakan bermula semenjak kemunculan Imam Al-Mahdi AS. Penobatannya adalah dalam masa tempuh penguasaan kaum Yahudi dan Nasrani atas penduduk mukabumi ini telah sampai ke kemuncaknya.
Apabila kaum Yahudi dan Nasrani menjadi penguasa-penguasa dunia, dikatakan seorang lelaki dari keturunan Abu Sufyan akan lahir di Syria dan membunuh ramai ahlul-bait Rasulullah SAW dan menguasai Syria dan Mesir.Selepas itu terjadi suatu peperangan sengit diantara kaum Nasrani dengan kaum Muslimin dimana umat Islam akan menemui kekalahan. Semasa itu tanda-tanda kedatangan Imam Mahdi telah banyak muncul dan umat Islam sedunia mula mencari-carinya kerana sudah tidak tahan dengan keadaan dan penderitaan yang mereka alami.
Berdasarkan pegangan pada kemunculan Imam Mahdi AS sebagai peneraju era kebangkitan ummah serta khalifah bagi Daulah Islamiyyah Akhir Zaman seperti yang disebut dalam banyak Hadeeth Rasulullah SAW, umat Islam mula menanti dan mencari-carinya. Namun Allah SWT tidak akan menzahirkannya sebelum sampai masa yang ditakdirkan.
Dan apabila sampai masa tersebut Imam Mahdi AS akan muncul di kota suci Mekah membuat tawaf di sekeliling Kaabah. Dikatakan ia akan dikenali oleh sebilangan ulamak semasa berada di antara Hajarul Aswad dan Maqam Ibrahim. Beliau akan diminta untuk menerima bai’ah mereka sebagai Khalifah. Pada mulanya ia enggan menerima bai’ah itu tetapi terus didesak oleh alim ulamak di situ sehingga akhirnya ia terpaksa menerimanya. Selepas kejadian ini, suatu seruan dari langit akan didengari oleh kesemua yang berada di situ dan juga oleh umat Islam dimana-mana pun di dunia ini. Suara itu akan menyeru: “ Inilah Khalifah Allah – Imam Al-Mahdi, oleh itu ikutilah dia.”
Selepas peristiwa bai’ah ini, maka bermulalah tanda-tanda besar Hari Kiamat. Dengan berita kemunculan Imam Mahdi dan bai’ah yang dibuat kepadanya, tentera Islam dari Madinah akan pergi ke Mekah. Pengikut-pengikutnya dari Syria danYaman akan bergabung untuk membantunya. Setelah itu Allah SWT mengutuskan kepadanya tentera dari Khurasan dengan panji-panji hitam mereka.
Dengan bantuan tentera-tentera Islam dari seluruh dunia, Imam Mahdi AS akan berperang jihad fi sabilillah dengan semua musuh-musuh Islam sehingga menemui kemenangan yang padu. Dalam sebuah Hadeeth dikatakan Allah SWT akan menghantar bantuan melalui khidmat 3000 MalaikatNya. Selepas kemenangan Imam Mahdi, ia akan mula mentadbir pemerintahan umat Islam sedunia dengan penuh keadilan dan bijaksana.
Kemunculan Dajjal antara Syria dan Iraq menjadi satu lagi episod yang perlu ditempuhi oleh umat Islam sedunia apabila sampai waktunya. Kedatangannya adalah dalam masa pemerintahan Imam Mahdi AS. Dajjal pada mulanya mengaku-ngaku sebagai Nabi dan akan pergi ke Asfahan dimana tujuh puluh ribu kaum Yahudi akan bergabung dengannya. Kemudian ia akan mengisytiharkan dirinya sebagai Tuhan. Kemana saja ia pergi kaum kuffar akan menjadi pengikut setianya sehingga ia sampai di luar sempadan kota suci Mekah. Bagaimanapun ia tidak dapat masuk kerana Mekah telah dilindungi oleh para Malaikat. Lantas Dajjal pergi pula ke Madinah. Di sana pun ia tidak dapat masuk. Kemudian ia akan menggoncang dan mengegar kota Madinah sehingga terjadi gempa bumi sebanyak tiga kali. Sesiapa di kalangan penduduk Madinah yang lemah imannya akan menyerahkan diri mereka pada Dajjal. Dikatakan kedatangan Dajjal adalah untuk tempuh selama 40 hari. Sebuah Hadeeth dari An-Nuwas bin Sam’an menyebut:
“Kami bertanya :” Wahai Rasulullah, berapa lamakah tinggalnya Dajjal di mukabumi ini?”. Baginda menjawab:” Empat puluh hari, (dimana) satu hari di waktu itu menyamai setahun, satu hari seperti sebulan, sehari sebagaimana satu Jumaat, semua hari (waktu itu) sama dengan hari-harimu (sekarang ini)” Kami bertanya lagi :”Wahai Rasulullah, sehari yang menyamai setahun itu adakah cukup solat dengan sekali saja dalam sehari?” Baginda menjawab: ” Tidak, hendaklah kamu perkirakan (solat itu) untuk satu hari itu sesuai dengan ketentuannya yang berlaku.”
Selepas Dajjal bermaharajalela melakukan kezaliman dan mengepung orang-orang beriman, maka pada suatu hari semasa azan Subuh, di waktu itu Imam Mahdi AS dan para pengikutnya sedang bersiap untuk mengerjakan solat, mereka akan ternampak Nabi Isa AS turun dari langit dengan ditemani oleh dua Malaikat. Nabi Isa berjumpa dengan Imam Mahdi dan menyatakan ia dihantar kebumi sebagai menzahirkan janji Allah SWT untuk membunuh Dajjal.
Kemudiannya Dajjal akan dibunuh oleh Nabi Isa AS di sebuah tempat bernama ‘Babu Ludd’ berdekatan Baitul Maqdis. Dalam tempuh itu juga kaum Muslimin akan membunuh saki baki orang kafir yang masih ada di mukabumi ini sehingga dengan izin Allah SWT, tiada lagi seorang pun di kalangan mereka yang tinggal .
Selepas beberapa waktu, Imam Mahdi AS pun wafat dan pemerintahan umat Islam akan diambil alih oleh Nabi Isa AS. Kemudian muncul pula makhluk Yakjuj dan Makjuj yang memakan apa sahaja ciptaan Allah SWT di mukabumi termasuklah binatang dan manusia, yang bernyawa mahupun bangkai. Dalam masa ini Nabi Isa AS dan kaum Muslimin akan berlindung di gua Toor atas perintah Allah SWT. Setelah habis tempuhnya, Allah SWT akan menghapuskan Yakjuj dan Makjuj dan keluarlah kaum Muslimin dari tempat perlindungan mereka di gua. Selepas beberapa tahun memerintah, Nabi Isa pun wafat dan dikebumikan di makam Rasulullah SAW. Di kala itu bumi penuh berekah dan akan dipimpin oleh raja-raja yang adil dan bertaqwa.
Masa keberkatan ini akan beralih pula pada suatu masa yang dikatakan sebagai masa penamat usia alam ini. Kebaikan akan bertukar menjadi kemungkaran sehingga tak terbendung. Dalam masa ini, dikatakan pada suatu hari, langit akan dilitupi kabus yang kemudiannya turun ke bumi. Mereka yang masih beriman akan mendapat sedikit kesakitan, orang-orang kafir pula akan pengsan. Kabus ini berlaku selama 40 hari.
Setelah itu pada suatu hari umat manusia mendapati malam berlalu begitu panjang sehingga anak-anak menjadi keletihan dan resah kerana asyik tidur, pedagang-pedagang menjadi keliru dan binatang-binatang ternakan mula bising kelaparan kerana tidak dibawa keluar meragut rumput. Malam yang berpanjangan itu tempuhnya tiga hari berturut-turut, mengakibatkan ketakutan dan panik, kemudian barulah kembali siang, tetapi kali ini matahari muncul dari arah barat dengan menyinarkan cahaya yang malap. Selepas itu, matahari akan meninggi sehingga tengah hari dan kembali seperti biasa, iaitu terbit di timur dan tenggelam di barat.
Peristiwa ini merupakan titik noktah, atau penamat bagi penerimaan taubat dan pengakuan kembali pada keimanan oleh umat manusia. Maksudnya, selepas dari peristiwa munculnya matahari dari arah barat, Allah SWT tidak akan lagi menerima sebarang taubat dari hamba-hambaNya .
Beberapa hari selepas kejadian ini terjadi gempa bumi yang membelah bukit Safa dan satu makhluk aneh yang bernama Daabatul Ardh akan muncul darinya dan akan bercakap dengan umat manusia. Ia akan mendatangi seluruh pelosok mukabumi dengan pantas dan akan menandakan dahi kaum Muslimin dengan Asa-e-Musa (tongkat Nabi Musa) yang akan menerangi wajah-wajah mereka. Pada hidung dan leher kaum kafir akan ditanda dengan tanda hitam dari cincin Nabi Sulaiman AS yang akan menggelapkan wajah-wajah mereka. Selepas melakukan tugasnya, makhluk aneh tersebut akan hilang.
Selepas itu angin segar dan nyaman akan bertiup dari utara yang mengakibatkan kematian umat Islam sedunia sehingga tidak tinggal seorang pun lagi diantara mereka. Selepas kematian umat Islam, muncul pula puak Habsyi yang menguasai dunia dan menamatkan ibadat Haji serta menghancurkan Kaabah. Quran hilang dari hati dan kitab-kitab. Pemerintahan penguasa kuffar dari Habsyah ini berlaku untuk tempuh selama tiga atau empat tahun.
Selepas itu terjadilah peristiwa keluar api dari bumi Yaman yang akan menghalau manusia keseluruhannya sehingga ke tempat masyar mereka (tempat berhimpun manusia sebelum dibinasakan pada Hari Kiamat). Akhirnya sampailah masa ketentuan Allah SWT. Diriwayatkan pada suatu hari Jumaat, sepuluh Muharram, apabila umat manusia sedang leka dengan urusan dan kehidupan harian mereka, tiba-tiba terdengar bunyi sangkakala. Mulanya sayup, lembut dan perlahan, tetapi lama kelamaan menjadi begitu kuat, lantang dan menggerunkan sehingga manusia panik, merasa tidak tentu arah dan serba ketakutan.
Dikatakan dahsyatnya Hari Kiamat itu, bagaimana umat manusia dapat menyaksi, mengalami dan merasakan dengan seluruh pancaindera mereka akan keadaan langit yang runtuh, pecah berderai menjadi abu yang berterbangan jatuh ke bumi. Bintang-bintang berhamburan, gelombang di lautan mengganas, gunung-ganang dan bukit bukau pecah terbelah dan berlaga antara satu sama lain. Dikatakan di waktu itu ibu yang mengandung akan terus melahirkan bayinya dan ibu yang menyusui anak akan terlupakan anak yang disusuinya. Manusia keseluruhannya menjadi kaget, terperanjat, gerun dan takut sehingga akhirnya menemui ajal mereka bersama-sama kehancuran langit dan bumi serta seluruh isi perutnya.
Dengan berakhirnya peristiwa Hari Kiamat, maka bermulalah Alam Akhirat yang dimulakan dengan peristiwa Hari Hisab dimana Allah SWT sendiri menjadi Hakim di mahkamahNya yang akan mengadili buruk baik hamba-hambaNya semasa hayat mereka di dunia.
Semoga Allah SWT melindungi kita dari penghisaban yang keras dan memilih kita di kalangan hamba-hamba yang diredhaiNya.
Beberapa Daleel Quran & Hadeeth Mengenai Tanda-Tanda Besar Akhir Zaman
Kemunculan Imam Al-Mahdi Al-Muntazar
Hakim meriwayatkan dalam kitab Mustadrak dengan isnad yang sahih, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: ” Akan keluar pada akhir umatku Al-Mahdi, Allah menurunkan hujanNya, dan bumi pun mengeluarkan tetumbuhannya, binatang bertambah banyak dan umat pun menjadi besar.”
Abu Daud dan Tarmizi mengeluarkan dari Hadeeth Ibnu Mas’ud : ” Jika dunia ini hanya tinggal sehari sahaja nescaya Allah akan bangkitkan seorang lelaki dari keluargaku yang akan memenuhinya dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kekejaman.”
Hadeeth riwayat At-Thabrani menyebut bahawa Rasulullah SAW telah bersabda : “Bumi akan dipenuhi kedurjanaan dan kekejaman. Ketika itu, Allah mengutus seorang lelaki dari umatku yang namanya seperti namaku, nama bapanya juga seperti nama bapaku, ia memenuhi bumi dengan keadilan dan saksama sebagaimana bumi dipenuhi kedurjanaan dan kezaliman. Ketika itu langit tidak menahan sedikit pun hujannya dari turun, dan bumi tidak menahan sedikit pun tumbuhan dari tumbuh. Ia bersama-sama kamu selama tujuh atau lapan atau sembilan yakni tahun.”
Kedatangan Dajjal
Daripada Huzaifah bin Asid Al-Ghifari RA berkata :” Datang kepada kami Rasulullah SAW, dan kami pada waktu itu sedang berbincang-bincang.’ Lalu baginda bersabda : ‘Apa yang kamu bincangkan?’ Kami menjawab:’Kami sedang berbincang tentang Hari Kiamat.” Lalu Nabi SAW bersabda :’Tidak akan terjadi Kiamat sehingga kamu melihat sebelumnya sepuluh macam tanda-tandanya .’ Kemudian baginda menyebutkannya : ’ Asap, Dajjal, binatang, terbit matahari dari tempat tenggelamnya, turun Nabi Isa bin Maryam AS, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali gempa bumi, sekali di Timur, sekali di Barat dan yang ketiga di Semenanjung Arab. Dan yang terakhir sekali adalah api yang akan keluar dari arah negeri Yaman yang akan menghalau manusia ke Padang Masyar mereka.” (HR Muslim)
Rasulullah SAW bersabda :” Sejak Allah SWT menciptakan Nabi Adam AS sampai ke Hari Kiamat nanti tidak ada satu ujian pun yang lebih dahsyat daripada Dajjal .” (HR Muslim)
Sabda Rasulullah SAW lagi :” Sesungguhnya seandainya Dajjal itu muncul pada zaman kamu (zaman Tabiin) nescaya budak-budak akan melemparnya dengan batu, tetapi ia akan muncul disaat bilangan umat Islam yang kuat beragama itu hanya sedikit dan pengetahuan agama pun sangat sedikit dan orang ketika itu hidup dengan tidak mempedulikan nasib saudaranya yang seagama.” (HR Al-Hakim)
Turunnya Isa ibnu Maryam AS.
“ Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang tampil membela kebenaran hingga datangnya Hari Kiamat.” Kemudian, sabda baginda selanjutnya; ” Akan turun Isa ibnu Maryam, lalu pemimpin mereka (Al-Mahdi AS) berkata, ‘Marilah solat mengimami kami.’Lalu Isa menjawab;’Tidak! Sesungguhnya sebahagian kamu adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain, sebagai penghormatan dari Allah.’ “ (HR Sahih Muslim)“ …Orang kafir tidak dapat menghidu angin nafas Nabi Isa AS. Kalau dia terhidu dia akan mati sedangkan nafas Nabi Isa itu dapat dirasakan dari jarak sejauh mata beliau memandang.” (HR Muslim)
“…Maka Nabi Isa AS akan menjadi pemerintah yang adil dan pemimpin yang lurus, mematahkan salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah dan meninggalkan zakat. “ (HR Ibnu Majah)
Keluarnya Bangsa Yakjuj dan Makjuj
“…Lalu Allah melepaskan Bangsa Yakjuj dan Makjuj. Mereka kelihatan turun dari setiap tempat yang tinggi dengan bersegera membuat kerosakan. Maka kumpulan yang pertama di kalangan mereka akan melalui tasik ‘Thabariyyah’ (sebuah tasik di utara Palestin) lalu mereka meminum keseluruhan air yang ada di dalam tasik itu, sehingga apabila kumpulan berikutnya datang ke tasik itu mereka berkata :’ Sesungguhnya sebelum ini di sini ada banyak air.’ “ (HR Muslim)
Allah SWT pernah berfirman yang maksudnya : “ Mereka berkata; Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu adalah orang-orang yang membuat kerosakan di mukabumi, maka dapatlah kami memberikan suatu pembayaran kepada kamu membuat dinding antara kami dengan mereka ?’ Zulkarnain berkata :’ Apa yang telah dikuasakan oleh Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka.”
(Al-Kahfi : 94-95)
Munculnya Era Keberkatan
“Maka hilanglah segala sifat permusuhan dan benci-membenci di kalangan manusia dan hilanglah segala bisa dari keseluruhan binatang yang berbisa sehingga anak kecil memasukkan tangannya ke dalam mulut ular maka ular itu tidak menggigitnya dan tidak ada apa-apa kemudaratan. Anak kecil boleh bermain dengan singa, bahkan serigala yang biasanya menerkam kambing akan terbalik seakan-akan anjing pemeliharaannya. Bumi ini akan dipenuhi keamanan dan keselamatan seperti mana dipenuhkan suatu bejana dengan air. Pendapat akan menjadi satu (tidak ada perselisihan antara umat) dan tidak disembah kecuali Allah dan segala peperangan akan berhenti dan orang Quraisy akan kembali memegang tampuk kepimpinan (seperti Imam Mahdi AS)”
(HR Ibnu Majjah)
“ Dari kalangan umatku ada al-Mahdi AS yang memerintah selama tujuh tahun atau lapan tahun atau sembilan tahun, ketika itu umatku hidup merasai nikmat yang belum pernah mereka nikmati sebelum itu, langit menurunkan hujan, bumi tidak lokek mengeluarkan tumbuh-tumbuhan, wang bertimbun-timbun, seorang lelaki akan berkata: Wahai Mahdi AS, berikan aku. Mahdi AS menjawab: Nah! Ambillah!”
Matahari Terbit Dari Barat
“Tidaklah akan datang Kiamat sehingga matahari terbit dari tempat tenggelamnya (dari barat). Apabila matahari terbit dari barat, maka orang-orang pun melihatnya, lantas mereka beriman seluruhnya. Maka itulah saat ketika iman seseorang tidak lagi bermanfaat bagi dirinya yang belum beriman sebelum itu atau belum mengusahakan kebaikan dalam masa imannya.” (HR Bukhari & Muslim)
“Sesungguhnya akan datang suatu malam kepada manusia, yang berpanjangan menyamai tiga malam seperti malam yang kamu hadapi sekarang ini. Jika sudah terjadinya keadaan demikian merasa tidak perlu mengetahuinya secara teliti seperti malam-malam sebelum itu, dimana salah seorang dari mereka yang bersedia untuk solat iu sentiasa berzikir kemudian tidur dan kemudian dia solat lagi. Pada masa itulah di sekelilingnya kebanyakan manusia yang beraneka ragam bentuknya. Sebahagian dari mereka itu ada yang solat Subuh kemudian dari itu ada yang solat Subuh kemudian dia duduk. Pada saat duduknya mereka itulah terbit matahari dari barat dan keadaan manusia saling berteriakan kebingungan, iaitu ketika matahari sudah berada di tengah-tengah langit, kemudian ia kembali lagi ke tempat terbitnya semula (iaitu arah barat), kemudian Rasulullah SAW meneruskan sabdanya lagi :’ Pada hari itu tiada berguna iman seseorang pada dirinya dimana ia belum beriman sebelum itu.’ ”
Keluar makhluk Daabatul Ardh dari perut bumi
“Bersegeralah kamu semua untuk beramal (sebelum datangnya) enam perkara ; Dajjal, Dukhan, Daabatul Ardh, terbit matahari dari barat, Hari Kiamat , ajal maut.” (HR Muslim)
“Sesungguhnya permulaan tanda-tanda (besar) Hari Kiamat ialah, keluarnya matahari dari barat dan keluarnya Daabah di tengah manusia di waktu Dhuha.” (HR Muslim)
“Daabah itu akan keluar dengan membawa tongkatnya Nabi Musa dan cincinnya Nabi Sulaiman, maka menjadi terserlahlah wajah orang kafir sehingga orang-orang yang tidak jujur itu berkumpul dan mengatakan:’ Kerana inilah (tanda ) wahai orang kafir dan kerana ini pula wahai orang-orang mukmin.’ “ (HR Ahmad)
Kabut Dukhan
“Sesungguhnya Rabb kamu telah memperingatkan kamu akan tiga perkara, iaitu; kabut yang akan menimpa orang mukmin bagaikan penyakit selsema dan menimpa orang kafir lantas menghembusnya hingga keluar dari setiap pendengarannya……”
(HR Ibnu Kathir)
Firman Allah SWT yang maksudnya : “ Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih.” (Ad-Dukhan : 10-11)
Al-Quran Diangkat ke Langit
Daripada Huzaifah RA berkata : “ Rasulullah SAW bersabda :’ Islam akan luntur seperti lusuhnya corak pada pakaian (bila telah lama dipakai), sehingga (sampai satu masa nanti) orang sudah tidak mengerti apa yang dimaksudkan dengan puasa, dan apa yang dimaksudkan dengan solat, dan apa yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadat) dan apa yang dimaksudkan dengan sedeqah. Dan Al-Quran akan dihilangkan semuanya pada satu malam sahaja, maka (pada esok harinya) tidak tinggal di permukaan bumi daripadanya walaupun hanya satu ayat. Maka yang tinggal hanya beberapa kelompok dari manusia, diantaranya orang-orang tua, laki-laki dan perempuan. Mereka hanya mampu berkata :’ Kami sempat menemui nenek moyang kami memperkatakan kalimat ‘Laila haa ilallah’, lalu kami pun menuturkannya juga. Maka berkata Shilah (perawi Hadeeth daripada Huzaifah),’Apa yang dapat diperbuat ‘Laila haa ilallah’ (apa menfaatnya kalimah itu?) terhadap mereka, sedangkan mereka tidak memahami apa yang dimaksudkaan dengan solat, puasa, nusuk dan sedeqah? Maka Huzaifah menjawab,’Kalimah itu akhirnya dapat menyelamatkan mereka setelah mengalami siksaan api neraka”: (Huzaifah memperkatakan jawapan itu tiga kali). (HR Ibnu Majjah)
Ka’abah Diruntuhkan
“Ka’abah akan dihancurkan oleh orang Habsyah yang bergelar ‘Dzus-Suwaiqatain’ (orang yang kedua-dua betisnya kecil) dan ia akan merampas segala perhiasannya dan melucutkan kelambunya (kain kiswa Ka’abah). Seakan-akan terbayang di hadapan mataku keadaan seorang yang botak, bengkuk sedikit sendi-sendinya. Ia memukul-mukul Ka’abah dengan besi penyeduk dan kapak besar.” (HR Ahmad)
Muncul api besar yang akan menghalau manusia ke Padang Masyar(tempat kebinasaan mereka) dan berkumpulnya manusia di Syam (Syria)
“Dan yang terakhir ialah api yang keluar dari Yaman yang mengiring manusia ke tempat berkumpul mereka (masyar mereka).”
(HR Muslim)
“Akan keluar api dari Hadramaut (selatan Yaman) atau dari laut Hadramaut sebelum datangnya Hari Kiamat yang mengumpulkan manusia.” (HR Ahmad dan At-Tarmizi)
Tiupan Sangkakala Sebagai Tanda Bermulanya Hari Kiamat
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan ditiuplah sangkakala, maka pengsanlah (rebah) segala makhluk yang ada di langit dan di bumi, selain yang dikehendaki Allah. Kemudian ditiuplah sekali lagi, tiba-tiba mereka itupun berdiri memandang .” (Zumar : 68)
“Iaitulah hari (yang pada waktu itu) ditiup sangkakala, lalu kamu datang berkumpul secara berkumpulan.” (Naba’ : 18)
” Pada hari itu engkau semua melihat setiap orang yang menyusui anaknya lupa akan anaknya yang disusui dan setiap orang yang mengandung melahirkan kandungannya. Engkau lihat semua manusia dalam keadaan mabuk, tetapi mereka itu sebenarnya tidak mabuk, tetapi siksa Allah jugalah yang Maha Dahsyat.” (Al-Haj : 2)
Sumber:
Buku 'Ahlul-Bait Rasulullah SAW, Dinasti Melayu & Akhir Zaman'. Rujuk bhg 'Karya Penulis'