Institusi Bendahara:
Permata Melayu yang Hilang
_
|
Jajahan Dinasti Bendahara Pahang Abad ke 18-19
|
Institusi Bendahara merupakan sebuah institusi Melayu tradisional yang amat kurang dimengerti, apatah lagi dihargai oleh orang-orang Melayu hari ini. Walaupun institusi yang pernah mewarnai lanskap pemerintahan bangsa Melayu semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka di awal abad ke 15 Masihi sehingga terhapusnya institusi tersebut selepas berlakunya tragedi runtuhnya kesultanan Johor Lama (1857) yang dilanjutkan dengan Perang Bendahara Pahang (Perang Saudara Pahang) dalam tahun 1857-1863 itu terlalu diketahui umum, namun falsafah, prinsip dan intisari disebaliknya sering disalah ertikan.
Suatu kesilapan ketara dalam ikhtiar mencari kefahaman tentang Institusi Bendahara adalah apabila cuba menyamakan jawatan tersebut dengan jawatan Perdana Menteri seperti yang terdapat dalam corak pemerintahan demokrasi dan raja berperlembagaan pegangan negara kita masa kini, iaitu dengan melihat kepada jawatan tersebut dalam konteks yang paling sempit sebagai ketua bagi segala para pembesar Melayu tradisional. Walhal realiti sebenar adalah jauh lebih itu.
Perlu ditegaskan bahawa jawatan Perdana Menteri yang kita amalkan masakini diambil daripada sistem politik Westminster di United Kingdom dalam abad ke 19 Masihi, sedangkan jawatan Bendahara adalah dibuat menurut acuan perundangan kerangka watan yang diwariskan oleh kesultanan Melaka beratus tahun yang lalu, dan ianya berpandukan kepada Hukum Syariat dan Adat Melayu.
Jika dilihat dari sudut perundangan Islam, jawatan Bendahara adalah sebenarnya Menteri Tafwidhi sebagai satu bahagian yang penting dalam corak pemerintahan berlandaskan Usul Fiqh al Siyasi, iaitu bagaimanan memerintah sebuah negara mengikut hukum syariat. Menteri Tafwidh (Menteri yang Berkuasa) diberi kuasa penuh oleh Khalifah atau Raja untuk menjalankan semua urusan pentadbiran negeri mengikut PERTIMBANGAN dan KEBIJAKSANAAN Menteri itu sendiri serta melaksanakannya mengikut IJTIHADnya .
Kuasa penuh yang dimiliki oleh Menteri Tafwidh meletakkannya sebagai Kepala Negara yang kedua. Peranan ini tidak dikhususkan kepada mana-mana jabatan atau bahagian tugas kerana skop kuasanya umum dan ianya juga tidak menjalankan pentadbiran, tetapi dia berkuasa mengawas secara umum terhadap semua jentera pentadbiran. Malahan Menteri Tafwidh layak membentuk jemaah menterinya atau melucutkan jawatan menterinya tanpa merujuk telerbih dahulu kepada Kepala Negara.Rujuk peranan Bendahara sebagai Menteri Tafwidh dalam sistem pemerintahan Islam yang sebenar, yang mana Khalifah@Sultan adalah dibantu oleh Menteri atau Wazirnya, iaitu Menteri Tafwidh (Menteri Berkuasa) dan Menteri Tanfiz (Menteri Pelaksana).
MENTERI TAFWIDH
Falsafah
Firman Allah SWT : “ Dan jadikanlah untukku seorang Menteri (Wazir) dari keluargaku, iaitu Harun saudaraku. Teguhkanlah dengan dia kekuatanku dan jadikanlah dia sekutu dari urusanku.” (Thoha: 29-32).
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “ Apabila Allah menghendaki akan kebaikan dengan raja, Allah menjadikan baginya seorang wazir yang baik (jujur), jika ia lupa, wazirnya akan memberi peringatan kepadanya, dan jika ia ingat, wazirnya akan menolongnya. Dan apabila Allah menghendaki dengannya selain demikian, Allah menjadikan wazirnya yang jahat, apabila raja lupa, tidak ada yang mengingatkannya, dan apabila raja ingat, tidak ada yang menolongnya.” (HR An_Nasa’i)
Tanggungjawab Menteri Tafwidh
Diberi kuasa penuh oleh Kepala Negara untuk menjalankan semua urusan pentadbiran negeri mengikut pertimbangan dan kebijaksanaan Menteri itu sendiri serta melaksanakan menurut ijtihadnya.
Syarat-syarat Kelayakan Menteri Tafwidh
i. Seperti yang ada pada Kepala Negara kecuali syarat keturunan.
ii. Mempunyai syarat tambahan, iaitu mesti berkeupayaan melakukan tugas-tugas di bawah bidang kuasanya seperti cukai dan peperangan.
iii. Menteri Tafwidh boleh melakukan apa sahaja yang dibuat oleh Kepala Negara kecuali dalam tiga perkara berikut iaitu:
a. Tidak boleh melantik bakal Kepala Negara
b.Tidak boleh meminta persetujuan rakyat supaya Kepala Negara dibebaskan daripada jawatannya.
c.Kepala Negara boleh melucutkan jawatan mereka yang dilantik oleh Menteri Tafwidh tetapi Menteri Tafwidh tidak boleh melucutkan jawatan mereka yang telah dilantik oleh Kepala Negara.
Syarat-syarat sah perlantikan Menteri Tafwidh
Kesahihan perlantikan seorang Menteri Tafwidh hanya memerlukan AQAD yang dibuat diantaranya dengan Kepala Negara, serta dilafazkan dengan sebutan yang terang.
Dari sumber kitab masyur Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@Tun Seri Lanang pula, Bendahara Melayu Melaka berasal dari Palembang. Demang Lebar Daun yang menjadi raja dari kerajaan Melayu di Bukit Siguntang telah merajakan Sang Sapurba kerana melihatkan kelebihan tuah dan berkatnya, kerana Sang Sapurba juga berasal dari keturunan raja-raja. Sedangkan dirinya kini diletakkan pada suatu kedudukan yang kemudiannya dipanggil Bendahara yang membawa erti ’ tempat perbendaharaan bagi segala rahsia raja.’ Dijangkakan peristiwa ini berlaku sekitar abad ke 13 Masihi
Suatu wa’ad atau magna carta telah dibuat. Demang Lebar Daun telah meletakkan syarat kepada Sang Sapurba dan keturunannya dalam peranan sebagai Raja-raja Melayu untuk memelihara kebajikan umat Melayu. Sebagai balasannya Demang Lebar Daun telah bersetuju supaya “ hamba Melayu tidak akan derhaka kepada rajanya.” Kedua-dua pihak juga telah bersetuju bahawa jika keturunan daripada mana-mana pihak melanggar waad yang dibuat, maka pihak yang lain tidak lagi terikat dengan perjanjian sumpah setia tersebut.
Maka dari sinilah asal 'punca kuasa' dan kedaulatan Raja-raja Melayu Melaka, yang juga menerbitkan satu adat Raja Melayu iaitu 'jika Raja meninggal dengan tiada waris, maka punca kuasa ini perlu dikembalikan kepada Bendahara' untuk memilih sesiapa jua sebagai raja yang berikutnya .
Bagi mengukuhkan jalinan ikatan antara kedua pihak ini dalam hubungan sebagai Raja-Bendahara, Sang Sapurba telah dikahwinkan dengan puteri Demang Lebar Daun yang bernama Radin Chandra Puri. Dari perkahwinan ini telah melahirkan keturunan Raja-raja Melayu Melaka dan meletakkan batu asas kepada adat Melayu dalam hal perkahwinan seorang Raja Melayu dengan puteri Bendahara yang diharapkan bakal melahirkan waris pemerintah yang gahara. Demang Lebar Daun jugalah yang member gelaran Yang di-Pertuan kepada Raja, ‘berpatik’,bertuanku dengan baginda serta meletakkan beberapa adat Raja Melayu yang lain
Institusi Bendahara sebagai sebuah institusi Melayu yang amat penting dan berharga perlu diketengahkan. Menurut Sejarah Melayu: ‘Maka adinda baginda Raja Kecil Muda dijadikan Bendahara, digelar Tun Perpatih Permuka Berjajar, ialah yang pertama jadi Bendahara.’
Seri Wak Raja adalah gelaran pertama bagi Bendahara Melaka selepas Islam. Semenjak itu jawatan Bendahara dipegang oleh kerabat raja yang lebih tua, lazimnya bapa saudara raja itu sendiri. Maka daripada Bendahara ini serta orang-orang besar-besar yang bergelar ‘Tun’ pada masa itu bermulalah keluarga atau kerabat yang dikatakan ‘anak tuan-tuan’ atau golongan ‘pertuanan’ .
Tugas utama Bendahara ialah ‘memerintah, memberi kebajikan atas bumi yang dilingkari raja itu. ’ iaitu mentadbir kerajaan yang beraja secara fizikal. Di sinilah letaknya keunikan Institusi Bendahara atas fungsinya yang bersifat ‘separuh raja separuh pembesar’, iaitu dalam martabat Bendahara setaraf Raja tetapi dalam masa yang sama tetap berperanan sebagai hamba Melayu yang taat kepada baginda.
Dalam hal ini, sebagai penjaga peribadi dan penasihat sultan yang tertanggung sepenuhnya atas pundak Bendahara, segala perkara yang merangkumi darihal titik bengik urusan peribadi baginda sehinggalah kepada perkara-perkara yang bersangkutan dengan hal ehwal pentadbiran negeri adalah menjadi tanggungjawab Bendahara yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa kesedaran.
Bendahara dituntut untuk menjadi orang yang paling setia kepada Raja, yang paling prihatin akan hal ehwal baginda, yang paling menjaga kepentingan baginda dan sentiasa berada di sisi baginda dalam susah dan senang. Dalam hal ini tidaklah keterlaluan untuk menyatakan bahawa Bendahara dituntut menjadi orang yang pertama memberikan kebaktian dan khidmat sepenuhnya kepada Duli Yang Dipertuan.
Dalam pemerintahan mana-mana Raja Melayu yang masih kecil, Bendahara bertindak sebagai Pemangku Raja, iaitu Bendahara duduk di atas singgahsana dan Raja pula diletakkan di haribaan Bendahara. Jika raja berangkat ke luar negeri, Bendaharalah dipertanggungjawabkan memangku kerajaan dengan dua orang pembesar menjadi pembantu khas.
Bendahara juga mengambil peranan sebagai field marshal mengatasi Hulubalang Besar dan Laksamana dalam mengetuai angkatan perang. Contohnya Bendahara Tun Perak yang menghalau Siam dari perairan Melaka malahan mengalahkannya dalam perang di Kelantan, Bendahara Tun Mutahir mengetuai angkatan Melaka dan Pahang melawan serangan Ligor, Bendahara Paduka Raja Tun Jenal mengetuai hulubalang Johor menumpaskan kubu Portugis di Melaka dalam tahun 1641M.
Bendahara juga bertindak sebagai Ketua Hakim dan dalam beberapa hal, mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tanpa perlu merujuk kepada Sultan. Bendahara juga dipertanggungjawabkan untuk mentadbirkan undang-undang terhadap golongan pembesar dan kerabat bangsawan sehingga mempunyai balairaya sendiri untuk perbicaraan, menyambut tetamu, para pedagang dan sebagainya.
Kedudukan Bendahara Melaka tersangat penting hingga dalam majlis santapan diraja, Bendahara makan bersama-sama dengan putera-putera diraja, bahkan raja-raja daripada mana-mana negeri yang kecil makan sama dengan Bendahara dan tidak dengan Sultan. Adat Melayu juga merujuk Bendahara sebagai pengganti raja, jikalau kemangkatan Sultan tiada berwaris .
Kedudukan Bendahara yang setara Raja di dalam Kesultanan Melayu Melaka dan Johor dapat diperhatikan dalam beberapa petikan Sejarah Melayu seperti berikut;
‘ Bermula jikalau (Bendahara) Tun Perpatih Permuka Berjajar duduk di balai, jikalau anak-anak raja datang tiada dituruninya, melainkan anak raja yang akan ganti kerajaan juga maka dituruninya. Jika Bendahara masuk mengadap, tempatnya duduk itu dibentangi permaidani. Jika raja sudah masuk maka Bendahara pulang, segala orang besar-besar dan segala orang kaya-kaya di balai itu semuanya pergi menghantarkan Bendahara pulang ke rumahnya.’
‘Adapun yang kena sireh nobat pertama Bendahara dan anak raja-raja, dan (kemudian) penghulu Bendahari, dan Temenggong, dan Menteri keempat, dan kadi, dan pakeh, dan Laksamana, Seri Bija Diraja, dan sida-sida yang tua-tua. Dan barang siapa yang dikehendaki raja, dan cateri, itupun jikalau ada Bendahara menghadap nobat; jikalau tiada Bendahara, tiadalah bersirih puan itu, jika ada anak raja-raja sekalipun.’
‘Maka Raja Kedah pun makanlah sisa Bendahara itu sama-sama dengan Tun Hassan Temenggung.’
‘ Maka Bendahara Seri Maharaja pun makan seorangnya. Segala orang yang banyak itu ada menanti Bendahara makan, kerana adat Bendahara Melaka, tiada makan sama-sama dengan orang. Setelah sudah Bendahara makan, maka orang lain pun makan. Demikian istiadat dahulu kala.
‘Kerana adat Bendahara Melaka, apabila membicarakan orang, Temenggong dan Laksamana tiada berpisah dengan Bendahara. Jikalau orang biadap lakunya pada Bendahara, Laksamanalah membunuhnya, dan jikalau orang yang patut ditangkap dan dipasung, maka Temenggonglah yang menangkap dan memasungnya. Demikianlah adat istiadat zaman dahulu kala.’
Kesimpulannya, kepentingan jawatan Bendahara yang diberi mandat sebagai Penghulu bagi institusi pembesar Melayu tradisi dapat dihayati melalui petikan dari wasiat Sultan Melaka-Johor iaitu Sultan Mahmud Shah I (1488-1511M) yang menitahkan:
“Adapun barang tahu Bendahara dan segala Orang Kaya-Kaya, bahawa dunia ini akan lepaslah dari genggaman kita, melainkan semata-mata akhirat yang kita hadapi. Adapun anakku Sultan Muda ini, dahulu Allah SWT, kemudian Rasul Allah, setelah itu kepada Bendahara dan Orang-Orang Kaya sekelian pertaruh kita, daripada memelihara dan mengajar, menegur dia, kerana dia budak penuh dengan khilaf dan bebalnya. Lagi ia piatu. Telah yakinlah kita akan pelihara Bendahara dan Orang Kaya-Kaya sekelian akan dia.”
“Setelah Sultan Mahmud Syah mendengar sembah Bendahara dan segala Orang Besar-besar itu, maka terlalu sukacita baginda, seraya meraih leher paduka anaknda baginda, dipeluk cium baginda, seraya bertitah: “ Hei anakku, cahaya mataku, buah hatiku, engkau kerajaan, sangat sabarmu, dan barang suatu bicaramu jangan meninggalkan Bendahara dan sekelian menteri hulubalangmu; sangat-sangat adil saksama pada barang hukum atas bala tenteramu…”
Begitu juga dengan peristiwa Sultan Alauddin Riayat Shah II Johor (1528-1564) yang meminta restu Bendahara terhadap peminangan puteri baginda oleh cucu Sultan Pahang, Raja Omar.
Baginda bertanya kepada Bendahara: “ Jikalau tiada ghalatnya kepada Bendahara, kerana kita tiada tahu, kerana tiang kerajaan anak cucu baginda yang dari Bukit Siguntang, dari Singapura datang ke Melaka, hingga sampai kepada masa kita ini, tiada lain daripada itu; salasilah Bendahara juga.Sebab itu kita bertanya kepada Bendahara; sudah kabul kepada Bendahara menyembah Raja Omar akan ganti kerajaan kita, kita terimalah..“
Rumusan
Pencerahan ilmu tentang susur galur salasilah, peranan, prinsip dan kepentingan Institusi Bendahara dalam sistem perundangan mengikut kerangka watan berpandukan Hukum Syariat dan Adat perlu dihailaitkan, kerana ia mampu mendekatkan kefahaman kepada dinamika lanskap siyasah pemerintahan kesultanan silam, khususnya di Melaka dan kesultanan Johor Lama, sekaligus menafikan persamaannya yang ketara dengan jawatan Perdana Menteri dalam sistem politik negara masakini.
Sumber
Tun Suzana @ Suzana Hj Othman
'Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang (1613-1863) karya penulis
Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka 2014

BUKU ELEKTRONIK ' INSTITUSI BENDAHARA: PERMATA MELAYU YANG HILANG' :
pwin.pahanglibrary.gov.my/books/vset/#p=1 |