Prediket 'Tun' Keluarga Bendahara
Menurut catatan Hj Mustafa AlBakri bin Hj Hassan dalam karangannya ‘Tun & Dato’ , gelaran ‘Tun’ mula digunakan oleh keluarga bangsawan dalam zaman kesultanan Pasai di Sumatera Utara (Acheh hari ini). Kemudian digunakan pula dalam kesultanan Melaka pada jawatan ketua pembesar tradisional, iaitu bendahara yang merupakan jawatan bersifat warisan. Bagi memuliakan keluarga bendahara, gelaran ‘Tun’ disematkan pada pangkal nama setiap keturunannya, tidak kira samada lelaki atau perempuan, contohnya Tun Perpatih, Tun Perak, Tun Ali, Tun Kudu, Tun Mutahir, Tun Fatimah, Tun Hassan Temenggung, Tun Tepok, Tun Biajid dan ramai lagi.
Wanita dari keluarga dan keturunan bendahara yang berkahwin dengan lelaki yang bukan keturunan bendahara diizinkan untuk tetap menggunakan gelaran tersebut pada anak-anaknya. Contohnya puteri Daeng Mempawah atau nama masyurnya Laksamana Hang Tuah ialah Tun Sirah (bukan Daeng Sirah), kerana bondanya adalah zuriat bendahara. Putera Sayyid Menawar, kadi Melaka yang berkahwin dengan puteri bendahara juga, hasil dari perkahwinan ini melahirkan keturunan yang memakai prediket ‘Tun’. Adat ini terus menerus dikekalkan oleh keturunan atau zuriat keluarga bendahara Melaka yang kemudian menapak di bumi Johor dan Pahang. Di Johor, nama-nama seperti Tun Isap Misai, Tun Seri Lanang, Tun Mas Anum, Tun Jenal, Tun Habib Abdul Majid dan sebagainya merupakan tokoh-tokoh dari keluarga bendahara yang terkenal dalam sejarah negeri tersebut. Di Pahang pula, Tun Abbas, Tun Abdul Majid, Tun Muhammad, Tun Korish, Tun Ali, Tun Mutahir adalah antara nama bendahara-bendahara Pahang yang mewarnai sejarah pemerintahan bumi itu. Bendahara-bendahara Pahang ini hakikatnya merupakan cucu-cicit kepada bendahara Johor dan Melaka. |
|
Buku Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karya Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad@ Tun Seri Lanang merujuk kepentingan keluarga bendahara Melaka dan Johor yang besar dalam peranannya mencorak serta mewarnai lanskap pemerintahan serta pentadbiran kesultanan Melayu Melaka/Johor, sedangkan buku-buku sejarah Pahang pula mengketengahkan keluarga bendahara-bendahara Pahang sebagai peneraju dalam sistem pentadbiran negeri, iaitu dalam fungsi sebagai wakil mutlak kerajaan Johor Lama yang menaungi bumi Pahang di waktu itu.
Kemudian, bermula zaman pentadbiran Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid (1770-1802), tanah Pahang telah dikurnia kepada bendahara yang berpusat di wilayah tersebut oleh Sultan Mahmud Shah III (1761-1812). Semenjak itu, bendahara-bendahara Johor Lama sekaligus menjadi raja Pahang, walaupun tetap ‘menyembah’ kepada sultan Johor Lama yang berpusat di Lingga, manakala gelaran 'Tun' masih terus digunapakai walaupun telah menjadi pemerintah bumi Pahang.
Kesimpulannya, keluarga bendahara yang mengenalkan diri mereka dengan prediket 'Tun' di Semenanjung Tanah Melayu, dikesan bermula pada era pemerintahan kesultanan Melayu Melaka lebih tujuh ratus tahun yang silam.
Walaubagaimanapun selepas peristiwa penjajahan kota Melaka oleh kuasa Portugis dalam tahun 1511 Masihi, bendahara Melaka telah mengikut sultan membuat pusat pentadbiran baru di wilayah Johor Lama dengan membawa bersamanya gelaran Tun itu. Dari saat itu kerajaan Johor Lama mewarisi pemerintahan kesultanan Melayu Melaka di negeri-negeri yang dibawah pernaungannya seperti Pahang, tanah besar Johor, Singapura, Riau, Lingga termasuk pulau-pulau di sebelah selatan Singapura.
Apakala terjadi peristiwa dimana bendahara Johor yang bernama Bendahara Paduka Raja Tun Habib Abdul Jalil diangkat menjadi raja setelah berlakunya tragedi Sultan Mahmud Mangkat di Julangan dalam tahun 1699 Masihi, dengan mengambil gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV (1699-1718), puteranya yang bernama Tun Abbas telah dilantik menjadi bendahara yang berikutnya. Sebahagian putera Sultan Abdul Jalil terus mengekalkan prediket Tun, manakala setengah yang lain mula mengguna pakai gelaran Tengku sebagai mengenalkan diri sebagai keluarga diraja Johor Lama, juga merujuk kepada pengaruh darah dari keluarga bangsawan dan alim-ulama Acheh dan Arab Quraish yang ada dalam batang tubuh Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV itu seperti Tengku Sulaiman, Tengku Kamariah, Tengku Tengah, Tengku Mandak dsbnya.
Belakangan cucu-cicit Sultan Abdul Jalil juga biasa digelar sebagai ‘Cik Wan’ atau 'Engku', juga sebagai mengenalkan dari darah Acheh, sehingga gelar ‘Tun’, ‘Che Wan’ dan 'Engku' menjadi sinonim kepada golongan bangsawan Johor Lama dan Pahang dari zuriat Sultan Abdul Jalil IV itu.Tun Abbas kemudian telah membawa kedudukan bendahara bersama-sama dengan gelaran Tun berhijrah ke bumi Pahang sebagai mewakili ayahandanya Sultan Johor Lama itu. Belakangan gelar Tun sering diikat dengan keluarga daripada jurai bendahara Pahang yang memerintah, sementara gelar Che Wan dan Engku juga turut digunakan kepada kaum kerabat bendahara yang lain. Tradisi ini dikekalkan oleh bendahara-bendahara Pahang yang seterusnya.
Walaubagaimanapun, dengan tercetusnya peristiwa perang saudara di Pahang dalam tahun 1857-1863 Masihi, dimana Encik Wan Ahmad, putera kepada Bendahara Tun Ali dari isteri seorang wanita yang dinikahinya di Lingga dalam tahun 1835 Masihi, telah merampas kuasa pemerintahan dari kekandanya Tun Mutahir , kemenangan En Wan Ahmad telah membawa kepada peristiwa perlantikan baginda sebagai Sultan Pahang Moden yang pertama dari keluarga bendahara, bermula tahun 1882 Masihi. Dengan kenaikannya kepada martabat sultan, maka keturunan baginda tidak lagi menggunakan prediket keturunan bendahara, iaitu 'Tun', digantikan dengan gelaran 'Tengku' untuk mengenalkan keluarga baginda sebagai keluarga diraja Pahang, sebagaimana yang berlaku pada putera-puteri Bendahara Tun Habib Abdul Jalil apabila baginda diangkat menjadi Sultan Johor Lama dalam tahun 1699 Masihi.
Susulan dari peristiwa kenaikan En Wan Ahmad kepada martabat sultan, fokus pengkajian sejarah pemerintahan sultan-sultan Pahang dari keturunan baginda telah menyebabkan pewaris keturunan keluarga bendahara yang lain yang bergelar Tun tidak lagi dijejaki kerana sudah tidak ada nilai ataupun kepentingan sejarah. Malahan dengan berlalunya masa, keturunan keluarga bendahara yang bukan dari jurai Sultan Ahmad kini ada yang beroleh gelaran Tengku melalui hubungan perkahwinan dengan orang istana, gelaran Syed atau Syarifah hasil perkahwinan dengan ahlul-bait Rasulullah s.a.w, sementara yang lainnya pula telah menjadi orang kebanyakan.
Oleh itu mereka tidak lagi dapat menghargai prediket keturunan, lalu sebahagian mereka tidak cenderung untuk terus mengekalkan prediket keluarga ini. Berlebih lagi, dalam tahun 1958M apabila prediket 'Tun' diambil pula menjadi suatu gelaran anugerah Darjah Kebesaran Persekutuan, maka mana-mana waris genetik atau baka kepada gelaran ini yang berminat untuk mengekalkan prediket keturunan adalah dilarang menggunakannya kecuali yang dapat membuktikan mereka mempunyai darah keluarga bendahara dengan pengesahan pihak berwajib seperti pihak istana atau persatuan kerabat.
Gelaran ‘Tun’ yang dipakaikan pada tokoh negara yang mendapat darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) dan Seri Setia Mahkota (S.S.M) mulai dianugerahkan dalam tahun 1958M, iaitu genap setahun negara kita mencapai kemerdekaan. Sultan Pahang yang memerintah pada masa itu ialah Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah (1932-1974).
Sejarah asal-usul gelaran ‘Tun’ dari kesultanan Melaka
Penggunaan prediket 'Tun' dijejaki digunakan oleh cucu-cicit Demang Lebar Daun yang merupakan pemerintah di sebuah kerajaan Melayu di Palembang lebih 700-800 tahun dahulu. Perkahwinan Nila Utama dengan puteri Demang Lebar Daun, iaitu Radin Chandra Puri telah melahirkan zuriat yang bercabang kepada dua bentuk, satu cabang atau jurai menjadi raja dan satu cabang lagi sebagai bendahara. Sistem ini merupakan bentuk awal pentadbiran kerajaan Melayu yang diperturunkan dari generasi ke generasi, belakangan diambil sistem tersebut pada zaman kesultanan Melaka yang merupakan cucu-cicit Nila Utama dan Radin Chandra Puri dan terus menjadi warisan kepada kerajaan-kerajaan Melayu yang mewarisi Melaka.
Ringkasnya wujud dua generasi yang induk asalnya dari satu keluarga, iaitu generasi raja dan bendahara. Sejurus sebelum zaman kesultanan Melaka, bendaharanya dikenali dengan nama Tun Perpatih Permuka Berjajar. Semenjak daripada itu, keluarga bendahara Melaka secara turun temurun telah meletakkan prediket 'Tun' pada pangkal nama-nama mereka sebagai mengenalkan diri dari zuriat dan baka keturunan bendahara . Keluarga diraja Melaka pula meletakkan prediket 'Raja' pada pangkal nama anak cucu mereka, contohnya Raja Muhammad, Raja Kassim, Raja Muzaffar, Raja Ali dan sebagainya. Apabila diangkat menjadi pemerintah, barulah gelaran 'Raja' ditukar menjadi 'Sultan', dipanggil 'Tuanku'.
Bagaimanapun, dalam konteks penggunaan prediket 'Tun', gelaran ini tetap tidak diubah pada nama waris bendahara yang kemudiannya dilantik menjadi bendahara pula. Sebelum dan selepas menjadi bendahara, gelar 'Tun' tetap kekal. Cuma bagi mengenalkannya dalam posisi jawatan bendahara, ditambah nama pangkat kebesaran sebelum prediket 'Tun', contohnya, Bendahara Seri Maharaja, Bendahara Paduka Raja, Bendahara Paduka Tuan, Bendahara Siwa Raja dan sebagainya.Antara nama-nama keluarga bendahara Melaka yang terkenal dalam sejarah kesultanan Melaka termasuklah Tun Telanai, Tun Perak, Tun Ali, Tun Mutahir, Tun Fatimah, Tun Hassan Temenggung, Tun Tepok, Tun Biajid dan lain-lain lagi.
Dalam konteks adat pemerintahan Raja-raja Melayu tradisional, tidak seperti jawatan Perdana Menteri yang terdapat dalam corak sistem pemerintahan negara kita pada hari ini, jawatan bendahara merupakan jawatan yang bersifat warisan, sebagaimana juga kedudukan sultan sebagai teraju pemerintahan negeri hanya layak diwarisi oleh anak cucunya sahaja. Atau dalam lain perkataan, faktor baka merupakan ciri kelayakan untuk menjadi sultan atau bendahara. Bagaimanapun ini bukanlah hukum syariat, tetapi adalah hukum adat semata-mata.
Oleh itu adalah salah untuk mengandaikan bahawa gelaran 'Tun' di zaman kesultanan Melaka adalah anugerah sultan kepada mereka yang dilantik sebagai bendahara, atau penasihat baginda semata-mata. Hakikatnya, kaum kerabat bendahara juga menggunakan prediket ini sebagai gelaran yang mengenalkan diri dari 'baka' keluarga bendahara semenjak zaman pra Melaka, iaitu anak cucu Demang Lebar Daun.
Sejarah mencatatkan bahawa Raja Melaka yang pertama, iaitu Sultan Iskandar Shah mengambil bapa saudara baginda sendiri sebagai bendahara. Juga menjadi adat tradisi Raja Melayu, bahawa calon permaisuri pertama perlu dicari daripada baka gahara (golongan bangsawan) dengan harapan dapat melahirkan zuriat yang mempunyai genetik 'baka pemerintah' , sehingga boleh memikul amanah sebagai pemerintah yang adil, berani, bijak dan berwibawa (faktor 'nature and nurture').
Oleh itu, menurut hikmah dan kebijaksanaan orang-orang zaman dahulu, puteri-puteri daripada baka raja atau bendahara (yang merupakan kaum kerabat raja sendiri), adalah calon sebagai permaisuri raja. Antara puteri-puteri bendahara yang menjadi permaisuri Raja Melaka adalah Tun Teja, Tun Ratna Wati, Tun Fatimah dan Tun Senaja, melahirkan pemerintah seperti Sultan Muzaffar Shah, Sultan Alauddin Riayat Shah II dan sebagainya .
Dalam sejarah orang-orang dari rumpun alam Melayu, pemakaian prediket 'Tun' sebagai hak milik waris keluarga dari keturunan bendahara tidaklah unik. Prediket Sayyid, Syarifah, Habib, Opu, Daeng, Megat, Wan, Ku, Raja, Raden, Raden Mas, Meor, Sidi, Nik dan banyak lagi juga mempunyai fungsi yang sama, iaitu sebagai mengenalkan diri dari jurai atau baka sesebuah keluarga yang mempunyai tradisi darah dan warisan yang lama.
Kesimpulannya, sebagaimana gelaran 'Raja' menjadi hak milik keluarga diraja, gelaran 'Tun' pula merupakan prediket yang dipakaikan pada nama-nama keluarga bendahara sebagai mengenalkan diri mereka dari zuriat bangsawan jurai bendahara.
Seperti yang disebutkan pada artikel sebelum ini, kesultanan Johor Lama yang pertama kali merenggangkan penggunaan prediket 'Tun' berlaku apabila keluarga bendahara yang menjadi raja ketika itu, iaitu Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV ibn Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (gambar bawah, kiri), sebahagiannya mula memakai gelaran 'Tengku', berikutan kenaikan Bendahara Tun Habib Abdul Jalil kepada martabat sultan Johor Lama dalam tahun 1699 Masihi.
Semasa pemerintahan putera baginda, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah ( 1722-1760), bermula episod kemasukkan keturunan anak-anak Raja Bugis ke dalam keluarga diraja Johor melalui hubungan perkahwinan dua adinda Sultan Sulaiman, sebagai membalas jasa mereka mengusir Raja Kecil dari bumi Johor. Iaitu perkahwinan Tengku Tengah dengan Opu Daeng Perani serta Tengku Mandak dengan Opu Daeng Chelak.Sementara seorang lagi saudara perempuan Sultan Sulaiman yang bernama Tengku Kamariah, berkahwin dgn Raja Kechil, melahirkan zuriat bangsawan dalam kesultanan Siak.
Daripada perkahwinan Tengku Mandak dan Opu Daeng Chelak melahirkan Tengku Puteri, yang berkahwin pula dengan Sultan Abdul Jalil V (1760-1761), melahirkan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812). Semenjak itu keluarga diraja Johor yang bercampur dengan darah Bugis lebih cenderung menggunakan prediket 'Daeng' sebagai merujuk percampuran darah Melayu (dari patriak) dengan darah bangsawan Bugis (matriak). Belakangan, bangsawan Bugis yang bersemenda dengan keluarga diraja Johor juga mula menggunakan prediket 'Raja'.
Seorang lagi saudara kandung Sultan Abdul Jalil Shah IV ibn Tun Habib Abdul Majid, yang bernama Tun Zainal pula diangkat menjadi pemerintah negeri Terengganu, bergelar Sultan Zainal Abidin I (1725-1733, gambar bawah, tengah). Dengan ini keturunan Sultan Zainal Abidin juga menggunakan prediket 'Tengku' sebagai mengenalkan diri mereka dari keturunan keluarga diraja Terengganu pula.
Sementara Bendahara Seri Maharaja Tun Abbas ibn Sultan Abdul Jalil Shah IV pula berhijrah ke Pahang, meneruskan tradisi turun temurun keluarga bendahara dengan meletakkan prediket 'Tun' pada pangkal namanya. Dengan ini prediket 'Tun' dibawa bersama oleh keluarga bendahara yang menapak pula di bumi Pahang. Bermula zaman Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid (1770-1802), wilayah Pahang telah dikurniakan kepada keluarga bendahara, lalu bermula fungsi sebagai Raja Pahang namun masih memegang jawatan sebagai bendahara Johor Lama. Gelaran 'Tun' terus digunapakai oleh Raja-raja Pahang dari era Tun Abdul Majid sehinggalah ke zaman pemerintahan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir Tun Ali (1847-1863).
Setelah berlaku peristiwa perang saudara (1857-1863), menyusul perlantikan adinda Tun Mutahir yang bernama En Wan Ahmad menjadi sultan Pahang Moden yang pertama dari darah bendahara, bergelar Sultan Ahmad al-Muadzam Shah I (1882-1914, gambar bawah, kanan). Dengan perlantikan ini telah melayakkan anak cucu baginda memakai prediket 'Tengku' bagi mengenalkan mereka sebagai kaum kerabat keluarga diraja Pahang, dari baka cucu-cicit Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV ibn BSM Tun Habib Abdul Majid.
Bagaimana pula dengan perkembangan gelaran 'Tun'? Kali terakhir gelaran ini direkodkan dalam sejarah ialah pada nama putera-putera Tun Mutahir yang tewas dalam ikhtiar mengambil balik kuasa pemerintahan Pahang, khususnya pada nama putera Tun Mutahir yang sulong, iaitu Tun Koris yang mewarisinya sebagai Raja Pahang, namun mangkat bersama-sama ayahandanya dalam tahun 1863 Masihi. Adindanya Tun Abdul Rahman yang menggantikannya, menjadi 'raja dalam buangan'. Semenjak itu, gelaran 'Tun' seolah-olah pupus.
Seolah-olah dengan kemangkatan Tun Mutahir dan Tun Koris, serta tewasnya Tun Abdul Rahman, prediket 'Tun' juga tidak lagi digunakan. Dengan kemangkatan Tun Mutahir, maka seolah-olah telah disemadikan bersama jasadnya di Bukit Timbalan, Johor Bharu, bukan sahaja institusi bendahara warisan Melaka itu, sekaligus dengan gelaran 'Tun' sebagai gelaran baka, kemuliaan serta warisan keluarga bendahara untuk zaman berzaman!!!
Prediket pusaka 'Tun' menjadi Darjah Kebesaran Persekutuan
Jika seseorang itu menggunakan prediket 'Sayyid' atau 'Syarifah' pada pangkal namanya, kita tahu asal usulnya boleh dijejaki daripada darah keturunan mulia, iaitu titisan Rasulullah s.a.w, samada dari Sayyidina Hassan ataupun Sayyidina Hussein ra anhuma. Begitu juga dengan gelaran 'Habib' dan 'Syarif'. Gelaran 'Tengku' dan 'Tunku' dikhususkan untuk keturunan keluarga diraja dalam kesultanan-kesultanan tanah air, 'Teuku' dan 'Pangeran' pula merupakan prediket keturunan raja di Acheh dan Brunei. 'Radin' dan 'Radin Mas' diketahui adalah gelaran cucu-cicit keturunan bangsawan di Tanah Jawa. 'Kraeng', 'Daeng', 'Opu' mengenalkan keturunan bangsawan Bugis. 'Nik' dan 'Long' pula adalah prediket bagi keturunan keluarga diraja Patani dan Kelantan Lama. 'Megat' dan 'Puteri' asalnya dari keluarga bangsawan Perak.
Prediket 'Tun'; selama beratus-ratus tahun semenjak zaman pemerintahan Raja-raja Melayu Melaka, dikhususkan bagi mengenalkan baka keturunan bendaharanya. Apabila keluarga bendahara menapak di negeri Johor, mengikuti keluarga diraja yang terusir atas sebab penawanan kota Melaka oleh penjajah Portugis, gelaran 'Tun' terus menerus digunakan oleh keluarga bendahara Johor. Bermula zaman Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid ( mangkat 1697) yang mendapat titisan mulia Rasulullah s.a.w, prediket 'Tun' digandingkan dengan prediket 'Habib' di pangkal namanya. Prediket 'Tun' sebagai prediket keturunan bendahara, gelaran 'Habib' pula mengenalkan diri sebagai cucu cicit Rasulullah s.a.w. Tun Habib Abdul Majid dan puteranya Tun Habib Abdul Jalil (kemudian menjadi Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV) merupakan contoh keluarga bendahara Johor yang menggunakan kedua-dua prediket keturunan ini.
Dengan berlalunya masa, prediket 'Habib' tidak lagi diguna pakai sedangkan prediket 'Tun' masih terus dikekalkan. Keadaan ini sememangnya sering berlaku di zaman kesultanan-kesultanan di alam Melayu, dimana keturunan Rasulullah s.a.w yang berkahwin dengan puteri raja atau puteri pembesar akan lazimnya mengambil gelaran kebesaran isterinya dan menghilangkan prediket 'Sayyid', 'Syarif' atau 'Habib' yang mengenalkan diri dari zuriat Rasulullah s.a.w. Contoh yang ketara ialah pengasas keturunan Raja-Raja Brunei dari zuriat Nabi Muhammad s.a.w, iaitu Syarif Ali, dimana keturunannya menggunakan gelaran 'Pangeran'. Keturunan Sayyid Ali Nurul Alam yang berkahwin dengan golongan bangsawan di Patani dan Kelantan lama mula menggunakan prediket 'Nik', 'Wan' dan 'Long' serta menghilangkan prediket 'Sayyid'. Begitu juga keturunan Syarif Hidayatullah di Tanah Jawa menggunakan prediket 'Radin' dan 'Radin Mas' pada keturunan mereka.
Bagaimanakah gelaran keturunan bendahara ini ditukar dari gelaran mengidentikan baka kepada suatu gelaran darjah kebesaran Persekutuan? Seperti yang disebutkan pada artikel sebelum ini, dengan kenaikan adinda Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang menang dalam peristiwa perang saudara di Pahang pada tahun 1863, maka pada tahun 1882, En Wan Ahmad menjadi Sultan Pahang Moden yang pertama dari darah bendahara, bergelar Sultan Ahmad Muadzam Shah I , dan zuriat baginda secara otomotik naik martabat bergelar 'Tengku' .
Dimasa itu keturunan keluarga bendahara yang lain, khususnya dari zuriat Tun Mutahir yang tewas dalam perang saudara sudah bertebaran keluar dari bumi Pahang ke merata tempat, ada yang merantau ke Johor, Singapura, Terengganu dan banyak tempat lagi, membawa haluan masing-masing. Peristiwa perang saudara di antara En Wan Ahmad dan kekandanya Tun Mutahir selama enam tahun (1857-1863) telah menyebabkan pecah belah keluarga dan kaum kerabat bendahara yang sangat hebat , dan ramai berhijrah ke tempat-tempat lain mencari suaka dan perlindungan.
Ramai dari kalangan zuriat Tun Mutahir mengambil keputusan menghilangkan jejak, prediket keluarga dan keturunan disembunyi atau dihilangkan terus, menyamar menjadi orang kebanyakan, kerana bimbang menjadi buruan pihak yang menang sekaligus intaian kuasa British yang mempunyai kepentingan tersendiri untuk melupuskan terus institusi bendahara warisan Melaka dan menggantikannya dengan sistem Residen atau Penasihat British (iaitu setelah berjaya menjadi dalang dan sekutu Belanda dalam meruntuhkan kesultanan Johor Lama). Ianya sepertimana yang pernah disebutkan oleh mendiang Prof Khoo Kay Kim: "Pahang menjadi pencetus kepada Pejabat Koloni di London untuk membentuk negeri-negeri Melayu Bersekutu (1896)!"
Semenjak itu, rekod-rekod sejarah hanya memberi perhatian dan fokus kepada sejarah pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah dan waris-waris baginda yang menjadi sultan-sultan Pahang yang seterusnya, sedangkan keturunan Tun Mutahir yang kalah perang itu serta kaum keluarganya yang lain tidak lagi direkodkan perkembangan sejarah mereka kerana sudah tidak mempunyai nilai sejarah lagi. Dokumen-dokumen keluarga hanya menjadi milik simpanan peribadi atau tidak lagi diendahkan, musnah dimamah zaman, sehingga anak cucu sendiri hilang identiti diri dan warisan bendahara.
Setelah genap seratus tahun berlalunya tragedi perang saudara di Pahang yang menghilangkan jejak ramai keturunan keluarga bendahara Pahang yang bukan dari titisan Sultan Ahmad (kerana zuriatnya telah memakai gelar 'Tengku'), maka diagakkan bahawa selepas tanah air kita mendapat kemerdekaan dalam tahun 1957 Masihi, dalam rangka membentuk darjah-darjah kebesaran negara sebagai anugerah tertinggi kepada tokoh-tokoh negara yang berjasa, berkemungkinan kerajaan pusat telah memohon keizinan serta restu daripada pihak istana Pahang, sebagai waris keturunan bendahara yang mempunyai kedudukan dan otoriti yang kuat, untuk menyerahkan gelaran keturunan mereka kepada kerajaan pusat kerana keluarga diraja Pahang kini menggunakan prediket 'Tengku' sedangkan waris keturunan bendahara yang lain sudah ‘tidak dapat dijejaki’ ataupun menjadi orang kebanyakan.
Sementelah posisi bendahara telah diubah menjadi ‘simbolik’ semata-mata semenjak era Sultan Ahmad Muadzam Shah, bukan lagi sebagai sebuah institusi yang mentadbir kerajaan, maka berkemungkinan pihak istana Pahang waktu itu berpendapat bahawa gelaran 'Tun' yang selama ini merupakan gelaran keluarga bendahara dan kini 'kehilangan pemilik', sebaiknya diserahkan sahaja kepada kerajaan pusat sebagai darjah kebesaran Persekutuan.
Berkemungkinan atas pendapat bahawa gelaran 'Tun' tidak boleh dibiarkan hilang begitu sahaja atas besarnya nilai sejarah dan kemuliaan yang disisipkan pada prediket tersebut, lalu pihak istana Pahang telah mengambil keputusan untuk menyerahkan gelaran ini kepada Persekutuan, menjadi darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) dan Seri Setia Mahkota (S.S.M)
Menurut sumber Wikipedia, darjah Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) merupakan pangkat yang tertinggi antara enam pangkat dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara (YMPN). YMPN merupakan darjah ketiga antara sepuluh darjah Anugerah Diraja Malaysia, yang dikurniakan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada pemimpin dan rakyat Malaysia yang telah berjasa, berkorban dan berbakti kepada negara serta para pembesar dan diplomat negara-negara asing.
Penyandang Darjah ini membawa gelaran 'Tun' dan isteri penyandang bergelar 'Toh Puan'.
Kalung Darjah mengandungi lambang-lambang Jata negeri-negeri dalam Malaysia. Bintang Darjah berbentuk bintang pecah sebelas yang diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Lencana Darjah berbentuk bintang pecah sebelas diperbuat daripada perak dan bersadurkan emas. Selepang Darjah diperbuat daripada kain sutera berlatarkan warna biru dan di kedua belah tepi selepang terdapat jalur kuning.
Darjah ini dizahirkan pada 16 Ogos 1958 dan diwartakan pada 21 Ogos 1958. Sultan Pahang yang memerintah pada masa itu ialah Sultan Sir Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Muadzam Shah (1932-1974).Antara tokoh-tokoh negara yang telah mendapat anugerah kebesaran ini ialah keluarga diraja, Yang di-Pertua Negeri, Perdana Menteri dan sebagainya. Mantan Perdana Menteri Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak, seorang anak jati Pahang dari keturunan Orang-Orang Kayanya, lebih tepat lagi Orang Kaya Syahbandar merupakan antara penerima anugerah tersebut yang awal, iaitu dalam tahun 1959 Masihi.
Kini, gelaran 'Tun' bukan lagi milik zuriat bendahara, namun masih wujud segelintir yang tetap menggunakan prediket ini berdasarkan pemakaian turun temurun keluarganya, atau yang memperolehinya dengan restu pihak istana Pahang.
Intaha
TSTHO