Islam & Ahlul-Bait Rasulullah SAW di Capetown, Afrika Selatan
Peranan dan Legasi Ulama-Umara Sufi Dalam
Perkembangan Islam di Capetown, Afrika Selatan
Umat Islam Capetown, khususnya Melayu Cape patutlah merasa bersyukur dan berterimakasih pada setiap seorang daripada ulama-umara sufi yang muncul mulai abad ke 17 Masihi, datang sebagai mubaligh-mubaligh agama yang bersemangat, bermotivasi dan berdaya juang tinggi, sabar dan gigih dalam mengharungi berbagai cabaran getir dalam perjuangan menyebarkan Agama Islam.
Alim-ulama dan umara-umara sufi yang kebanyakannya ditangkap dari Alam Melayu kerana memberontak kepada pihak Belanda, dibuang negeri ke Cape, langsung dipenjara atau dikerah di sektor-sektor perladangan dan pembinaan telah mencetuskan harapan dan semangat yang kental kepada sahabat-sahabat ‘sepenjara’, ‘seladang’ dan ‘sepembinaan’ kerana tokoh alim-ulama dan umara-umara sufi ini bukan calang-calang orang, melainkan pejuang-pejuang agama lagikan bangsawan di tanah tumpah darah mereka dahulunya, khususnya di Indonesia Lama, menentang aggresor Belanda dengan jihad fisabilillah.
Di Cape, mereka terus menyambung tugas dakwah dan tabligh walaupun dalam keadaan serba serbi dikekang, dirantai pada leher, tangan dan kaki, dipenjara dan dikerah, namun semangat dan daya juang mereka masih bebas sebebas-bebasnya. Apatah lagi tokoh-tokoh ulama dan umara sufi ini ramai yang bertaraf wali, sehingga banyak berlaku kejadian-kejadian luarbiasa yang menunjukkan kehampiran mereka dengan Allah SWT, lantas menggerunkan pihak Belanda tetapi menjadi daya tarikan yang kuat kepada orang-orang lain. Natijahnya telah menjana pengikut-pengikut Islam yang ramai dan setia. Memberi harapan, mencetuskan keredupan iman dan keceriaan amalan kepada hamba-hamba dan orang-orang yang dalam buangan. Sehingga mereka bersatu-padu dalam Islam dan kerohaniyyan kental walaupun dari latarbelakang yang berbeza.
Dua tokoh ulama-umara sufi paling penting, berjasa dan tersohor bagi orang-orang Melayu Cape adalah Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati, seorang putera bangsawan dari kerajaan Gowa di Sulawesi, dan Imam Abdullah ibn Qadi Abdus Salam, juga putera raja dari kerajaan Tidore di Kepulauan Maluku, Indonesia Lama. Walaupun mereka bukan kontemporari kerana Syeikh Yusuff muncul dalam tahun 1694 Masihi sedangkan Imam Abdullah pula datang dalam tahun 1780 Masihi, namun kedua-dua tokoh ini adalah saingan paling kuat dalam merebut gelaran ‘bapa’ atau induk kepada orang-orang Melayu Cape.
Manakan tidak, Syeikh Yusuff dikatakan ulama pertama yang bertanggungjawab membawa Islam ke Cape. Dari pusat tahanannya yang agak terpencil di ladang Zandvliet, sekarang dipanggil Makassar, beliau dan para sahabatnya membuat usaha dakwah dan tabligh secara gigih walaupun terpaksa berhadapan dengan berbagai cabaran hebat dari pihak Belanda, sehingga dengan berlalunya masa ajaran-ajaran mereka tersebar luas ke seluruh Capetwon.
Imam Abdullah ibn Qadi Abdus Salam pula bertanggungjawab menulis naskhah-naskhah Quran dan Feqah Islam daripada hafalan semasa beliau menjadi tahanan Belanda di Robben Island. Dengan adanya kitab-kitab penulisannya, memudahkan usaha penyebaran Islam dengan pesatnya di Capetown. Beliau juga berjasa dalam menubuhkan masjid pertama Capetown di Dorp Street (berjiran dengan kawasan Bo-Kaap), dipanggil Masjid Awal dan menjadi imamnya. Selain itu beliau juga telah menubuhkan madrasah pertama di tempat yang sama sehingga usahanya dalam membina masjid dan madrasah menjadi inspirasi pula kepada tokoh-tokoh Islam yang lain untuk melakukan perkara yang sama. Dengan ini bersemaraklah syiar Islam di seluruh Bandar Capetown.
Pada hari ini, legasi ulama-umara sufi awallun yang kebanyakannya bermazhab Syafiee ini telah menampakkan natijahnya yang ketara di mana-mana jua di Bandar Capetown ini. Dengan bilangan umat Islam yang mencecah lebih 500,000 (anggaran kasar), masjid yang mencecah lebih 100 buah, kompleks-kompleks membeli belah yang menyediakan surau--surau serta makanan-makanan halal[1], amalan-amalan yang masih terus dibuat oleh umat Islam seperti bertahlil, bermarhaban, membaca ratib, meraikan hari-hari kebesaran Islam, mengadakan maulid-maulid dan sebagainya bakal menjadi hujjah nyata di Hari Hisab nanti kepada sumbangan tokoh-tokoh ulama-umara sufi awallun yang besar dalam perkembangan Islam di sini,
Aku terpanggil untuk mengketengahkan sejarah ringkas Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati bagi memuliakan kedudukannya sebagai ’induk’ atau ‘bapa’ kepada masyarakat Melayu Capetown .
Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati : Induk Melayu Cape
dan Pengasas Petempatan Melayu Pertama di Makassar
Kemunculan Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati bersama-sama sahabat-sahabat seperjuangannya di Capetown dalam tahun 1694 Masihi sebagai tahanan Belanda, bukan sahaja menandakan era permulaan kehidupan masyarakat Melayu yang pertama di Afrika Selatan, tetapi yang terlebih penting terdirinya sebuah penempatan komuniti Islam pertama di negara ini juga.
Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati lahir di Gowa, Sulawesi Selatan tahun 1626. Nama ini diberikan oleh Sultan Alauddin, raja Gowa, yang juga adalah kerabat ibunda Syekh Yusuff. Nama lengkapnya setelah dewasa adalah Tuanta' Salama' ri Gowa Syekh Yusuff Abul Mahasin Al-Taj Al-Khalwati Al-Makassari Al-Banteni, tapi, ia lebih terkenal dengan jolokan Syeikh Yusuff.
Syeikh Yusuff mendapat didikan agama semenjak berumur 15 tahun, belajar kali pertama dengan Daeng Ri Tassamang, guru kerajaan Gowa. Beliau juga belajar dari Syed Ba-lawi bin Abdul Al-Allamah Attahir dan Jalaludin Al-Aydit. Pada usia 18 tahun Syeikh Yusuff berkahwin dengan puteri Sultan Gowa dan terus menuju ke Banten, yang mana beliau bersahabat dengan putera mahkota Kerajaan Banten Pangeran Surya, kemudian menjadi Sultan Ageng Tirtayasa yang kelak menjadikan Syeikh Yusuff sebagai mufti Kesultanan Banten.
Dari Banten Syeikh Yusuff mengembara pula ke Aceh dan berguru dengan Syeikh Nuruddin Ar-Raniri serta mendalami tariqat Qadiriyyah sampai mendapat ijazahnya. Dari Aceh Syeikh Yusuff meneruskan pengembaraan ke Yemen dan berguru kepada Syeikh Abdullah Muhammad bin Abd Al-Baqi sampai mendapat ijazah Tariqat Naqsyabandiyyah dan ijazah Tariqat Ba-Alawidari Syed Ali Al-Zahili. Syeikh Yusuff meneruskan siri pengembaraan ke seluruh jazirah Arab untuk belajar agama sehingga beliau memperolehi gelaran tertinggi iaitu, iaitu Al-Taj Al-Khalawati Hadiatullah daripada Syeikh Abu Al-Barakat Ayyub bin Ahmad bin Ayyub Al-Khalwati Al-Quraisyi dari Syam (Damaskus).
Syeikh Yusuff meneruskan perjalanannya ke Mekah dengan hasrat menuntut ilmu denganimam-imam 4 mazhab, namun mereka menolaknya dengan alasan imu yang Syeikh Yusuff perolehi sudah mencukupi. Mereka kemudian menganjurkan agar Syeikh Yusuff belajar kepada Syeikh Abu Yazid, dan seterusnya belajar dengan Sultanul Auliya’ Syeikh Abdul Al-Qadir Al Jailani.
Setelah tamat pengajian, Syeikh Yusuff kembali ke Banten dan berkahwin dengan puteri Sultan Banten yang bernama Syarifah, kemudian menikah lagi dengan seorang wanita dari Serang dan Giri sehingga dikurniakan banyak keturunan.
Syeikh Yusuff telah menjadikan Banten sebagai pusat pengajian agama sehingga ramai murid-murid dari berbagai daerah datang untuk belajar darinya, sebahagian mereka adalah dari kalangan anak-anak bangsawan istana di Jawa Barat. Apabila Tengku Mahkota Pangeran Surya naik tahta dengan gelar Sultan Ageng Tirtayasa, Syeikh Yusuff dilantik sebagai mufti kerajaan dan penasihat baginda. Syeikh Yusuff juga telah menulis sejumlah karya demi mengenalkan ajaran tasawuf kepada umat Islam Nusantara.
Seperti banyak daerah lainnya saat itu, Banten juga sedang gigih melawan Belanda. Permusuhan yang meruncing menyebabkan terjadinya peperangan antara Sultan Ageng di satu pihak dan Sultan Haji beserta Syarikat Hindia Timur Belanda di pihak lain. Syeikh Yusuff mengetuai pihak Sultan Ageng dengan memimpin sebuah pasukan Makassar. Namun pasukan Sultan Ageng telah dapat dikalahkan Belanda pada tahun 1682 Masihi.
Maka bermulalah babak baru bagi kehidupan Syeikh Yusuff sebagai buangan politik. Pada mulanya beliau ditahan di Cirebon dan Betawi (Jakarta), namun disebabkan pengaruhnya yang kuat sehingga mengancam pihak Kolonial, beliau dan keluarganya dihantar ke Sri Lanka dalam tahun 1684-1693 Masihi.
Daya juangnya yang tinggi menyebabkan Syeikh Yusuff tetap aktif menyebarkan Islam, sehingga dalam waktu singkat murid-muridnya mencapai jumlah ratusan, yang kebanyakan berasal dari India Selatan. Beliau juga bertemu dan berkumpul dengan para ulama dari berbagai negara Islam. Salah seorang dari mereka ialah Syeikh Ibrahim Mi'an, ulama besar India. Beliau meminta Syekh Yusuff menulis sebuah buku tentang tasawuf, berjudul Kayfiyyat Al-Tasawwuf. termasuk mereka yang berguru pada Syekh Yusuff.
Melalui jemaah haji yang singgah ke Sri Lanka, Syeikh Yusuff masih mampu berhubungan dan mengajar Islam kepada para pengikutnya di Nusantara, selain bertemu dengan kaum keluarga dan murid-muridnya di negeri ini. Hal itu merisaukan Belanda kerana mereka bimbang Syeikh Yusuff akan mempengaruhi pengikutnya untuk membuat pemberontakan melawan Belanda.
Akhirnya pada tahun 1694 Masihi Belanda mengambil keputusan menghantar Syeikh Yusuff ke Capetown bersama-sama 49 orang ahli keluarga dan pengikutnya. Di Capetown, Syeikh Yusuff disembunyikan dalam sebuah ladang terpencil bernama Zandvliet. Namun ketokohannya sebagai ulama-umara sufi serta kekeramatannya yang sangat menyerlah telah menyebabkan pihak berkuasa masih tidak mampu mengapa-apakan diri Syeikh Yusuff dan para pengikutnya. Syeikh Yusuff meninggal dunia dalam tahun 1699 Masihi dalam usia 73 tahun dan selama tempuh enam tahun di Afrika Selatan, tidak banyak yang diketahui tentang dirinya, sebab beliau tidak mampu lagi bertemu dengan jemaah haji dari Nusantara.
Namun dalam sesingkat masa inipun, beliau tetap meninggalkan impak yang besar. Syeikh Yusuff membuat sebuah perkampungan di ladang ini, dan dari sinilah beliau dan sahabat-sahabatnya berusaha gigih mengembang serta menyemarakkan syiar Islam sehingga ajaran-ajaran mereka tersebar luas di seluruh Bandar Cape. Perkampungan tersebut pada hari ini dikenali dengan nama Makassar, bersempena tempat asal Syeikh Yusuff.
Setiap tahun, tanggal kematiannya diperingati di Afrika Selatan, bahkan, Nelson Mandela pernah menjolokinya sebagai 'Salah Seorang Putera Afrika Terbaik'. Oleh pengikutnya, bangunan bekas tempat tinggalnya dijadikan tugu peringatan. Sultan Banten dan Raja Gowa pernah meminta Belanda agar jenazah Syekh Yusuff dikembalikan, tapi tidak dihiraukan mereka. Setelah tahun 1704 Masihi, atas permintaan Sultan Abdul Jalil, barulah Belanda mengabulkan permintaan tersebut. Pada tanggal 5hb April 1705 Masihi kerandanya tiba di Gowa dan kemudian dimakamkan di Lakiung.
Legasi ajaran dan amalan Syeikh Yusuff masih terus dipraktikkan oleh penduduk Islam tempatan, khususnya di Makassar sehingga ke hari ini. Suami dan menantuku menjadi orang-orang bertuah kerana dapat bersama-sama dengan penduduk Makassar mengambil bahagian dalam amalan-amalan keagamaan sepanjang percutian kami di rumah persinggahan ini.
Wali, Keramat dan Ahlul-Bait Rasulullah SAW
Makam-makam wali yang bertaburan di sekitar Bandar Capetown menjadi bukti tentang wujudnya daya tarikan semulajadi tempat ini kepada unsur-unsur rohaniyyat yang sudah semestinya menjadi faktor paling penting dalam usaha penegakkan serta pemesatan Islam di kalangan penduduk dari berbagai latarbelakang di sini sejak dari dahulu lagi.
Hakikatnya tidak dapat tidak, Bandar Capetown bukan sahaja sering dikaitkan dengan sejarah perkembangan Islam yang pertama di Afrika Selatan, malahan dikaitkan juga dengan kemunculan tokoh-tokoh ulama-umara tersohor, antara mereka adalah wali-wali yang penuh dengan kisah-kisah perjuangan, ajaran-ajaran dan amalan-amalan agama, malahan tidak kurang juga cerita-cerita luarbiasa tentang kekeramatan mereka.
Tokoh-tokoh umara-ulama sufi buangan politik dari Alam Melayu merupakan perintis komuniti Islam di negara ini, jumlah keseluruhan mereka dianggarkan sekitar 200 orang yang dibawa kemari diantara tahun 1652 Masihi sehingga berakhirnya penguasaan Syarikat Hindia Timur dalam tahun 1795 Masihi. Sebahagian daripada buangan politik ini dikelaskan sebagai ‘Mohammedan Priesters’, yang bermaksud mubaligh-mubaligh Agama Islam, dan peraturan VOC menetapkan mereka perlu dirantai seumur hidup.
Kisah-kisah perjuangan ulama-umara sufi di Capetown yang gigih dalam menyemarakkan syiar Islam telah meniti dari bibir ke bibir. Dengan asbab merekalah ramai daripada nenek-moyang orang-orang Capetown yang terdiri dari berbagai latarbelakang telah mendapat taufik dan hidayah Allah SWT, langsung menganut Agama Islam yang suci murni itu.
Maka sampai hari ini umat Islam di Capetown merasa bangga dan amat terhutang budi dengan alim-ulama awallun ini terutamanya dari kalangan wali-walinya. Kecintaan hebat wali-wali ini pada Allah dan RasulNya telah dijadikan contoh idealisme dan pemuliaan yang sepatutnya diberikan kepada mereka, termasuk membina makam-makam peringatan dan memeliharanya. Dari generasi ke generasi, keturunan demi keturunan penduduk Capetown dan kawasan sekitarannya telah membuat ziarah ke makam wali-wali ini, mengambil berkat, berzikir dan membaca Quran serta berdoa pada Allah SWT melalui wasilah mereka.
Lebih kurang 300 tahun dahulu, dikatakan seorang ulama besar yang bernama Khardi Abdusalem telah mendapat firasat tentang masa hadapan umat Melayu di Capetown, yang pada masa itu baru datang sebagai hamba dan orang-orang buangan politik Belanda. Ulama ini menyatakan ” bahawa suatu masa nanti kamu semua akan menjadi bebas semula, dan keturunan-keturunan kamu akan hidup dilingkari para Aulia’ Allah, terlindung daripada mara bahaya kebakaran, kebuluran, wabak penyakit, gempa bumi dan ombak besar (tsunami)…”
Dan hari ini, penduduk tempatan percaya bahawa lingkaran tersebut telahpun disempurnakan dengan penemuan, ataupun penemuan semula satu-persatu makam wali-wali yang bertaburan di seluruh Bandar Capetown, molek susunan makam-makam tersebut, tidak ubah seperti lingkaran yang pernah difirasatkan. Bilangan makam-makam ini banyak, sehingga bukan sahaja tertera dalam peta-peta jalan, malahan menjadi monumen-monumen negara dan tempat-tempat tarikan pelancong yang datang dari berbagai negara di dunia ini.
Kehadiran wali-wali hidup mahupun yang telah meninggal dunia di satu-satu tempat itu seringkali dikaitkan dengan kisah-kisah luarbiasa atau yang disebut sebagai kekeramatan mereka sebagai menunjukkan kedekatan kepada Allah SWT. Contohnya Tuan Syed Alawi yang dikatakan sering keluar masuk ke kawasan larangan, iaitu kuarters hamba-hamba yang dikawal ketat sepanjang masa. Beliau datang semata-mata untuk berdakwah dan mengajar Islam kepada mereka. Beliau akan keluar semula selepas mengajar dan kemudian kembali lagi dengan membawa makanan untuk hamba-hamba ini.
Contoh lain ialah Tuan Matarah yang dipenjarakan di Robben Island, beliau dikatakan sering keluar masuk penjara secara bebas, malahan meredah Lautan Atlantik sekitar Robben Island untuk ke Bandar Capetown bagi mengunjungi kenalan-kenalannya. Begitu juga dengan Syeikh Noorul Mubeen yang dikatakan berjalan atas Lautan Atlantik semasa melarikan diri dari penjaranya di Robben Island.
Tidak terkecuali pada makam wali-wali yang telah meninggal dunia di Capetown ini. Tentang keadaan wali-wali yang telah meninggal dunia, Rasulullah SAW pernah bersabda :
“ Jasad golongan Anbiya’ dan Auliya’ akan terpelihara dalam kubur-kubur mereka. Malahan rahmat dan barakat Allah sentiasa dicucuri atas mereka”
Disebut bahawa penempatan-penempatan di sekitar kawasan makam wali-wali Capetown ini sentiasa hening dan tenang, terpelihara daripada bencana-bencana alami seperti banjir dan kebakaran.
Contohnya makam Syed Abdul Kader di Caledon. Dikatakan kawasan di sekitar makamnya seringkali dilanda banjir, namun makamnya tidak pernah sekalipun ditenggelami air. Contoh lain ialah makam Tuan Ismail Dea Malela dan puteranya Tuan Desa Koasa, pernah berlaku kebakaran besar di kawasan makam mereka dalam tahun 1940 Masihi, bagaimanapun orang-orang melihat api yang sedang semarak seolah-olah melonjak melangkahi kedua-dua makam tersebut sehingga tidak terkena api kebakaran padanya.
Pengkajianku tentang sejarah wali-wali yang pernah hadir di Bandar Capetown ini memperlihatkan beberapa ciri yang kini sudah menjadi tidak asing lagi bagiku dan inginku kongsi dengan pembaca sekelian.
Berikut ialah beberapa fakta yang paling menarik tentang mereka ;
Pertama:
Kebanyakan mereka berketurunan Rasulullah SAW dan menjadi Syeikh ataupun pengikut-pengikut tariqat dan/atau,
Kedua:
Kebanyakan wali-wali ini berasal dari Alam Melayu dan/atau,
Ketiga:
Sebilangan mereka merupakan tokoh-tokoh ulama/umara yang berketurunan bangsawan dari Alam Melayu
Perhatikan nama wali-wali ini[2];
1. Syeikh Yusuff Taj Al-Khalwati- Bangsawan Goa, Sulawesi, Indonesia Lama
2. Imam Abdullah ibn Qadhi Abdus Salam (Tuan Guru) - Putera Raja Tidore, Kepulauan Maluku, Indonesia Lama
3. Tuan Dea Koasa- Bangsawan dari Kesultanan Sumbawa, Indonesia Lama
4. Tuan Ismail Dea Malela – Bangsawan dari Kesultanan Sumbawa, Indonesia Lama
5. Syed Abduraghman Matora (Tuan Matarah) – Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
6. Syed Abdul Aziz- Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
7. Syed Mahmud - Ahlul Bait Rasulullah SAW, penasihat agama kepada Syeikh Abdurahman Matebe, putera dari Kesultanan Johor Lama.
8. Syeikh Abdurahman Matebe Shah – Putera dari Kesultanan Johor Lama yang bermastautin di Pantai Barat Sumatera.
9. Syed Jaffer – Ahlul Bait Rasulullah SAW, Syeikh Tariqat Ba-Alawi, asal Kepulauan Melayu.
10. Syed Alie - Ahlul Bait Rasulullah SAW, pengikut Syed Jaffer, asal belum diketahui.
11. Syed Bassier atau Syeikh Ali - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
12. Syed Sulaiman - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
13. Syed Osman - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
14. Syed Alawiee - Ahlul Bait Rasulullah SAW, mubaligh di Alam Melayu.
15. Syed Abdul Malik, Ahlul Bait Rasulullah SAW, mubaligh di Betawi (Jakarta Lama).
16. Syed Abdul Haq Al-Qadri - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
17. Syed Jabar - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
18. Syed Muhammad Haq Al-Qadri - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
19. Syed Muhammad - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
20. Syed Mohammad Illahie - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
21. Syed Moegsien bin Alawie Al-‘Aidrus - Ahlul Bait Rasulullah SAW dari Hadramaut, Yemen.
22. Syed Abdul Kader - Ahlul Bait Rasulullah SAW, asal belum diketahui.
23. Tuan Kaape-ti-low, (Jawhi Tuan) - Jenderal kepada tentera Syeikh Yusuff Taj dari Indonesia Lama
24. Syeikh Mohamaed Hassen Ghaibie Shah Al-Qadri – Pengikut Syeikh Yusuff Taj dari Indonesia Lama
Bagi makam wali-wali lain yang dapat dijejaki di sekitar Bandar Capetown, bagaimanapun asal-usul atau sejarah mereka belum diketahui lagi secara terperinci. Antaranya ialah Syeikh Suleiman, Syeikh Bismillah Shah Bawa, Syeikh Abdurrahman, Tuan Nuruman, Syeikh Noorul Mubeen, Syeikh Abdul Mutalib, Maulana Abdul Latief dan Tuan Masud.
Apakah iktibar yang kami dapatkan dari segala pengalaman kami di Capetown ini?
Bahawasanya; bersemadinya para Auliya’ Allah pada makam-makam yang bertaburan di seluruh pelosok Bandar Capetown menjadi hujjah nyata tentang semangat, daya juang dan kesan kehadiran mereka sehingga dalam kematiannya pun mereka tetap mampu memberikan menafaat kepada umat Islam di sana khususnya yang tinggal di sekitaran kawasan makam.
Firman Allah SWT : “ Dan janganlah kamu mengatakan terhadap sesiapa yang gugur dalam perjuangan membela agama Allah itu orang mati, bahkan mereka itu hidup tetapi kamu tidak menyedarinya.” (mengetahui keadaan mereka).” (Al-Baqarah : 154)
Jikalaulah kepimpinan umat Melayu di tanah airku yang tercinta ini, samada dari golongan umara, ulama mahupun ahli-ahli masyarakat yang mempunyai Zikr, Fikir dan Fi’il amal soleh yang kaffah (total), yang cenderung agar budaya jahiliyah-yatsribiyah masakini menjadi adabiyah-diniyah (peradaban yang beragama, tertib dan indah, berpedoman imani dan ilmu al-Quran dan as-Sunnah), mengambil iktibar daripada pengalaman penduduk Melayu Capetwon, iaitu meletakkan kembali para Aulia’ Allah yang ramai kedapatan di Malaysia ini, terutamanya yang telah meninggal dunia, kepada martabat-martabat yang sepatutnya, dihormati, dimuliakan, dibaikpulih dan dipelihara makam-makam mereka, disucikan dari unsur-unsur syirik dan khurafat oleh para pengunjung makam, diambil iktibar dari sejarah perjuangan mereka suatu masa dahulu demi menebarkan syiar Islam seluas-luasnya di rantau ini.
Diketengahkan kisah-kisah kehidupan dan perjuangan para Aulia’ Allah ini, penuh dengan cabaran-cabaran besar yang harus ditangani melalui kekuatan mental, fizikal mahupun kerohaniyyan, diuar-uarkan segala ajaran-ajaran mereka sebagai pedoman umat Islam hari ini, maka sudah tentu ianya akan membuka lembaran baru bagi lanskap kehidupan umat Islam amnya, dan umat Melayu khususnya di negara kita ini.
Iaitu era penuh cucuran rahmat dan keberkatan Illahi kerana masyarakat kita mengutip kembali satu ciri kekuatan dan ketahanan bangsa ini yang sekian lama telah dilupakan kerana dikaitkan dengan unsur-unsur bidaah sesat natijah daripada terpengaruh dengan fahaman-fahaman Wahabi, walhal memuliakan wali-wali Allah samada yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia adalah digalakkan dalam pegangan Ahlussunnah Waljamaah dengan mengikut adab tertib yang sepatutnya.
Bahawasanya lagi: apabila dikembalikan golongan ahlul-bait Rasulullah SAW pada fitrah, amalan dan peranan leluhur mereka, sebagai duta Islam, cermin pada kemurnian akhlak, penzahiran intisari rohaniyyat yang kental, pembimbing manusia pada aspek-aspek keagamaan dan spiritualisme, maka mudahlah umat Islam dapat menarik cucuran rahmat dan keberkataan Illahi atas mereka sehingga semua makhluk dan unsur-unsur alam pun dapat merasai lampias rahmat dan keberkatan tersebut .
Dan kita amat bertuah kerana bumi ini redup dengan kehadiran cucu-cicit Nabi SAW yang ramai, menjalani kehidupan sebagai orang-orang penting negara mahupun rakyat biasa, berperanan dalam berbagai bidang.
Jikalaulah mereka sedar sendiri ataupun disedarkan tentang potensi ‘kod baka’ dalam darah yang mengalir pada diri, yang sesungguhnya terkandung zat Rasulullah SAW sendiri, dan mereka beriman, beramal serta berakhlak dengan iman, amal dan akhlak nenek-moyang mereka dari kalangan ahlul-bait umara-ulama awallun Islam yang cemerlang, bukan sahaja mereka beruntung, malahan umat Islam sendiri akan mendapat lampias potensi mereka yang besar demi kesejahteraan dan keberkatan ummah sejagat.
Bahawasanya lagi: takrifan Melayu hakikatnya mampu dibelenturkan, dibawa ke mana-mana tempat sekalipun dalam dunia, ke mana-mana zaman dan keadaan juga, asal sahaja dua teras induknya terus dikekal, dipelihara dan dipertahankan, iaitu ciri-ciri BERAGAMA ISLAM dan BERINTISARI, BERAMAL ROHANIYYAT KENTAL, yang mana amalan-amalan rohaniyyat yang dimaksudkan di sini masih kekal berpegang pada induk ajaran syeikh-syeikh sufiisme Islam yang teraula seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Abdullah al-Haddad, Syeikh Abdul Qadir Jailani dan yang seumpama mereka.
Apa yang pasti, identiti MELAYU ISLAM BERAJA yang sejak berkurun lamanya telah didakap erat oleh umat Melayu Nusantara adalah hakikatnya bersifat tahan lasak dan mudah dibelenturkan tanpa menghilangkan elemen-elemen teras, namun perubahan struktur sosio-politik tanah air selepas merdeka telah menginjak-injak elemen-elemen tersebut masa demi masa dengan hambatan-hambatan daripada perubahan sosio-politik tanah air (social and political conditioning).
Hambatan-hambatan yang cukup hebat ini walaupun masih belum mampu untuk mematahkan terus induk-induk Melayu, namun jikalau virus muncul akibat dilayan tuntutan-tuntutan biadap dari kalangan masyarakat majmuk yang asal orang luar dan bukan Islam pun, dan virus ini gagal dihapuskan, umpama penyakit Influenza A atau H1V yang mampu tersebar luas dan meracuni, sehingga berpotensi mengubah ‘kod baka’ gagasan MIB, natijahnya luputlah identiti asal generasi Melayu akan datang dan lahir semula dengan identiti baru yang bukan lagi berjiwa keislaman! Barang dijauhkan Allah tragedi ini berlaku!!
Sesungguhnya kita telah diizinkan Allah SWT menjejak dan menggali semula kod baka yang menjadi teras induk orang-orang Melayu. Umpama kisah Abdul Mutalib, nenda Rasulullah SAW yang menjumpai semula air zam-zam di kawasan Haramain setelah sekian lama tertimbus angkara gejolak politik kaum-kaum Arab jahiliyyah, yang mana penemuan tersebut telah menaikkan semula martabat suku Bani Hasyim dalam dunia Arab, begitulah harapan kita tentang penemuan semula teras-teras induk Melayu yang merupakan kunci kekuatan dan ketahanan bangsa ini untuk berkurun lamanya.
Bawalah pulang kunci ini dan bukalah kembali pintu kegemilangan bangsa Melayu yang selama ini telah terkunci rapat angkara mainan politik penjajah yang meninggalkan legasi yang sangat memudaratkan, malahan bakal mencelakakan bangsa ini beserta anutan agamanya jikalau tidak segera dibendung.
Bawalah pulang kunci ini dan bukalah kembali pintu rahmat dan keberkatan Allah SWT untuk bangsa ini.
Bawalah pulang kunci ini dan bukalah pintu rahsia yang tersirat di sebalik lintasan sejarah orang-orang Melayu di rantau ini, dan unsur-unsur kemelayuan yang sekian lama diikat dengan teras Tauhid dan Rohaniyyat Islam yang kental, serta potensi bangsa ini untuk zaman kebangkitan Islam yang Allah telah janjikan itu!
Ameen ya rabbal ‘alameen…
[1] Satu destinasi pelancongan Capetown yang terkenal iaitu di Waterfront, menyediakan surau di Visitors Centre nya sendiri
[2] Cape Mazaar (Kramat) Society, Guide To The Kramats of The Western Cape (Revised Edition), 2001, Cape Town, South Africa
Sumber buku Cita Sempurna Melayu Islam Beraja & Ahlul Bait Nabi SAW:
Menjejak Kunci Kekuatan yang Ingin Pulang
bakal diterbitkan oleh Media Satria Sdn Bhd